Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

KHM Satukan Komuniti Setempat

By 22 Julai 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Komuniti Harapan Malaysia (KHM) yang ditubuhkan tahun ini bawah Jabatan Penerangan Malaysia merupakan satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) sukarela berfungsi bagi memasar, meningkatkan kefahaman serta penghayatan dasar-dasar kerajaan baharu agar lebih mudah difahami dan diterima oleh rakyat khususnya pada peringkat akar umbi.

Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik Rashid Abdullah, penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat memperkasakan jaringan komunikasi serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.

“Pembabitan masyarakat setempat dalam aktiviti ini juga dapat membina hubungan yang harmoni tanpa mengira fahaman politik,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Program Sepakat KHM Mukim Sik 2019 di Perkarangan Pejabat Penerangan Sik, di sini semalam.

Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Rashid turut berharap agar generasi muda khususnya pelajar-pelajar mengambil iktibar daripada pengorbanan dan perit jerih pejuang terdahulu dalam mempertahankan negara.

“Memupuk perpaduan harus bermula di sekolah di mana usaha boleh dibuat untuk menyemai nilai keharmonian antara kaum, perpaduan dan keamanan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk mengibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan ini.

Turut dijalankan taklimat CPR, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan masakan dan gubahan, explorace merdeka serta lain-lain.

-SH

Tinggalkan komen anda