Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Kisah Siti Rahmah Bawa Tuah

By 21 Julai 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Asmah Mat Ali/Suzira Zainol Abidin (Ipoh)

IPOH, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Perak 2019 menyaksikan kemenangan berpihak kepada kumpulan Puspa Margosa daripada Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh.

Menurut peserta, Nur Aida Nazirah Md Subri, 20, usaha mereka mengangkat sebuah cerita yang jarang diperdengarkan membawa tuah yang tak disangka.

“Tokoh yang agak kurang dikenali iaitu Siti Rahmah Kassim yang sebenarnya memulakan kempen menderma barangan kemas untuk membantu membiayai perjalanan Tunku Abdul Rahman dan rombongan menuntut kemerdekaan ke Kota London diangkat dalam persembahan ini,” ujarnya.

Antara persembahan peserta program.

Antara persembahan peserta program.

Sementara itu, seorang lagi ahli Kumpulan Puspa Margosa Anis Nordhini Noridan, 20, pula menambah mereka terinspirasi daripada kemurahan hati Siti Rahmah.

“Pada pendapat kami, di sebalik perjuangan mendapatkan kemerdekaan, golongan wanita juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan mereka,” jelasnya.

Pengerusi Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr. Abdul Aziz Bari, menyeru agar semua berganding bahu dan bekerjasama dalam merapatkan perpaduan demi kesejahteraan generasi akan datang.

“Harapan saya agar pertandingan ini mencapai matlamatnya dalam menyampaikan mesej kenegaraan khususnya kepada ramaja dan pelajar,” ulas Abdul Aziz ketika merasmikan program itu tadi.

Pertandingan ini menyaksikan lima pasukan berentap mewakili empat buah daerah dengan 600 pelajar membanjiri Dewan Seri Tanjung, di sini hari ini.

-SH

Tinggalkan komen anda