Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Pengisahan Kenegaraan Pupuk Semangat Cintakan Negara

By 21 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Fauzi Rosli (Ipoh)

HULU KINTA, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Pertandingan Pengisahan Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) merupakan salah satu pendekatan kreatif dalam usaha memupuk semangat cintakan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri Perak Dr Abdul Aziz Bari, berkata program tersebut mampu menerapkan semangat kenegaraan dengan cara yang santai dan lebih menarik.

“Program kali ini agak menarik kerana boleh dikatakan sebagai satu aktiviti kreatif yang kita harapkan dapat disemarak dan diperluaskan pada tahun-tahun akan datang.

“Banyak ruang yang boleh ditambah baik dan dapat dipertingkatkan seperti memperluaskan tema pertandingan sekaligus memberi impak kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Perak 2019 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Mohd Taip Ubah, berkata pembaharuan pertandingan kali ini lebih kepada konsep Malaysia Baharu dan tema Hari Kebangsaan 2019.

“Kalau dahulu penceritaan lebih kepada ceramah, kali ini penceritaan tokoh-tokoh sejarah dan sebagainya dipersembahkan dalam bentuk pengisahan,” katanya.

Pasukan dari IPG kampus Ipoh yang mewakili daerah Kinta telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan dengan membawa pulang wang tunai RM3,000.00, plak dan sijil penghargaan.

Manakala, Naib Johan dimenangi oleh pasukan dari Hilir Perak dengan membawa pulang wang tunai RM2,000.00, plak dan sijil penghargaan.

Tempat ketiga hingga kelima masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,500.00, plak dan sijil penghargaan.

Sebanyak lima pasukan menyertai pertandingan ini mewakili daerah Kinta, Manjung, Kerian dan Hilir Perak.

-SH

Tinggalkan komen anda