Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Mahasiswa UIAM Juara Pidato Kenegaraan Selangor

By 28 Julai 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang & U.A Kulasiri U.A Jinadasa (Selangor)

KUALA SELANGOR, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nur Syafiqah Mohd Paris, menjuarai Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 peringkat negeri yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa, Bestari Jaya, hari ini.

Semasa pertandingan tersebut Nur Syafiqah yang mewakili daerah Gombak menyampaikan pidato bertajuk ‘Rukun Negara Teras Kecemerlangan Bangsa’ membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil penghargaan.

Penuntut jurusan Ijazah Ekonomi berusia 20 tahun itu mengalahkan lima peserta lain dan akan mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kedah pada bulan September depan.

Johan, Nur Syafiqah Mohd Paris

Johan, Nur Syafiqah Mohd Paris

Tempat kedua disandang peserta daerah Hulu Selangor, Mahendran Duraisamy dan peserta Hulu Langat, Ahmad Haziq Khawarizmi Ahat di tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang RM1,000 serta RM500, plak dan sijil penyertaan.

Hadiah kemenangan disampaikan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor, Devaraj Subramaniam, manakala pertandingan tersebut dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Idris Ahmad.

Antara hadirin yang hadir

Antara hadirin yang hadir

Dalam ucapan perasmian, Dr Idris menyatakan pertandingan pidato anjuran JaPen merupakan platform terbaik untuk anak muda menyuarakan pendapat menerusi saluran yang betul.

“Baru-baru ini Dewan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang hak umur mengundi dikurangkan kepada 18 tahun, membuktikan kepentingan anak muda dalam pembangunan negara.

“Luahkan perasaan dengan kemahiran berhujah demi kebaikan negara dan kritik secara betul, jangan merosakkan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda