Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pantai Irama Bachok, Medan Perang ATM-TNI (LINUD MALINDO)

By 28 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini (Bachok)

BACHOK, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Deruman pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM yang berlegar di ruang udara Bandar Banchok seawal pukul 7 pagi diikuti dentuman berdas-das tembakan serta kepulan asap merah yang menyelubungi pesisir Pantai Irama telah menggemparkan masyarakat tempatan pada pagi Khamis lepas.

Penduduk sekitar Bandar Bachok panik dan takut melihat gerombolan tentera, kenderaan serta jentera perang yang seakan-akan sedang menakluki Pantai Irama di awal pagi Khamis.

Hakikatnya situasi itu hanyalah sesi simulasi eksesais perang di bawah platform Latihan Kerjasama Lintas Udara Malaysia – Indonesia (Eksesais LINUD MALINDO) yang telah bermula pada Ahad lepas di Gong Kedak, Pasir Puteh dan berakhir di Pantai Irama, Bachok.

Eksesais ini melibatkan seramai 1200 pegawai dan anggota daripada 10 Briged Para Angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Negara Indonesia (TNI) pula disertai seramai 40 anggota daripada 501 Para Rider Angkatan Darat (TNI-AD).

Eksesais ini merupakan acara tahunan dan diadakan secara giliran antara Malaysia-Indonesia sejak tahun 2004 lagi.

Korperal Jamil Muhd, penerjun 10 Briged Para

Korperal Jamil Muhd, penerjun 10 Briged Para

Menurut Korperal Jamil Muhd, 35, daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), latihan ini bertujuan untuk memberi pendedahan berkenaan Airborne Operation melalui operasi-operasi seperti guguran udara dan peperangan konvensional.

“Dalam eksesais ini sebanyak 166 anggota para (penerjun) diterjunkan dari pesawat dan dikehendaki berpecah untuk menentang musuh,” jelas beliau.

“Mereka diberi masa selama 72 jam meredah perjalanan sambil menentang musuh sepanjang 40 kilometer untuk tiba ke lokasi eksesais terakhir iaitu Pantai Irama, Bachok,” tambahnya lagi.

Wartawan MalaysiaAktif Bachok bergambar kenangan bersama anggota 10 Briged Para TDM

Wartawan MalaysiaAktif Bachok bergambar kenangan bersama anggota 10 Briged Para TDM

Para penerjun diterjunkan dari pesawat di persekitaran Cherang Ruku, Pasir Puteh dengan hanya dibekalkan rangsum (makanan tentera), senjata dan beberapa keperluan sepanjang mengharungi perjalanan 40 kilometer dalam tempoh 72 jam.

“Kelebihan eksesais bersama ini ialah tentera kedua-dua negara saling berkongsi strategi peperangan secara taktikal di dalam gabungan kumpulan,” ujar Jamil di akhir temu bual bersama MalaysiaAktif.

Sesi keseluruhan latihan adalah selama lima hari dan berakhir dengan majlis perbarisan ketenteraan dari kedua-dua negara yang dirasmikan oleh Pengarah Latih Markas Tentera Darat, Kolonel Asri Shukor dan turut dihadiri oleh Pemangku Panglima 10 Briged (Para), Leftenan Kolonel Ahmad Fitri Othman. Manakala TNI diwakili oleh Asisten Operasi, Kolonel Infanteri Elkines Villando Dewangga Kesumawide.

-NAZ

Tinggalkan komen anda