Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

SMK Durian Tunggal Johan Pertama Pertandingan Sketsa Rukun Negara

By 28 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Asmah Mat Ali (Ipoh)/Edi Rizam Kassim (Putrajaya)

IPOH, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal Melaka, dinobatkan Johan Pertandingan Akhir Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekolah tersebut yang mempertaruhkan sketsa berjudul “Muhibah” berjaya menewaskan empat sekolah lain sekaligus membawa pulang piala pusingan, wang tunai berjumlah RM5000, plak serta sijil penyertaan.

Menurut guru penyelaras sekolah tersebut Chan Chin Ho, 39, mereka sama sekali tidak menyangka dapat memenangi tempat pertama kerana saingan hebat daripada peserta-peserta bertanding.

Cikgu Chan berpuas hati usaha mereka selama ini membuahkan hasil.

Cikgu Chan berpuas hati usaha mereka selama ini membuahkan hasil.

“Kami mula berlatih dari bulan puasa, dan selepas memenangi pertandingan pada peringkat negeri, kami berlatih tujun kali lagi sebagai persedian ke Peringkat Kebangsaan, dan membuahkan hasil yang dikecapi pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas program.

Sementara itu, Naib Johan disandang SMK Sultan Ibrahim Johor, yang membawa pulang wang tunai RM 3000, plak berserta sijil penyertaan, manakala tempat ketiga pula dimenangi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa yang membawa pulang RM2000 plak dan sijil penyertaan.

Dua buah sekolah turut yang layak ke pertandingan akhir ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha Wilayah Persekutuan Labuan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Port Dickson Negeri Sembilan.

Pertandingan julung kali yang diadakan ini diadili oleh juri professional, Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Muhammad Aszahari Abdul Rahman, Ketua Pusat Teater Fakulti Teater dan Animasi Universiti Teknologi MARA Dr Norzizi Zulkifli dan Presiden Karyawan Perak Dr Zabidin Haji Ismail.

-SH

Tinggalkan komen anda