Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Masyarakat Labuan Diseru Tanam Durian di Tanah Terbiar

By 23 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 23 Jul (Malaysiaaktif) – Masyarakat Labuan diseru mengusahakan tanaman durian di tanah terbiar secara kluster agar dapat menambah pendapatan seisi keluarga.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, berkata Labuan sedang ke arah ekonomi berasaskan pelancongan dan memerlukan produk-produk yang dapat menarik pelancong ke sini.

“Ladang atau kebun buah-buahan yang diusahakan dengan sempurna bukan sahaja dapat mengeluarkan hasil yang berkualiti tetapi juga boleh dijadikan sebagai produk agropelancongan,” katanya.

Jabatan Pertanian Labuan turut komited membantu masyarakat untuk mengusahakan tanaman bukan sahaja buah-buahan tetapi juga tanaman sayur-sayuran, kelapa, ternakan kelulut, perusahan industri asas tani dan pelbagai lagi.

“Saya menyarankan agar masyarakat berhubung terus dengan Jabatan Pertanian untuk mendapatkan khidmat yang diperlukan selaras dengan syarat-syarat yang telah digariskan.

“Saya yakin aktiviti pertanian akan memberikan pulangan dan keuntungan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh seperti yang telah dibuktikan oleh beberapa pengusaha yang berjaya menghasilkan produk berkualiti,” katanya lagi semasa merasmikan Hari Ladang dan Promosi Durian Labuan Tahun 2019, petang semalam.

Rozman turut memuji program tersebut yang dapat mempromosi dan membuka mata orang ramai bahawa Labuan mampu mengeluarkan buah durian yang berkualiti seperti negeri-negeri lain.

Program yang dijalankan di Taman Pertanian Kilan itu diisi dengan beberapa pengisian lain seperti Kursus Pengurusan Tanaman Durian serta Kursus Pengurusan Penyakit dan Perosak Tanaman Durian yang dikendalikan oleh penceramah yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur dan Kelantan.

Para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai jenis gred durian tempatan Labuan yang berkualiti serta setanding dengan durian luar.

Hadir sama Ketua Pengarah Pertanian Malaysia Datuk Jamal Harizan Yang Razali, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien dan Pengarah Pertanian Labuan Mohd Jurijh Abdullah Fauzi.

-SH

Tinggalkan komen anda