Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MPKK Anjur Gotong Royong Bersih Sungai, Erat Silaturahim

By 22 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 22 Julai (Malaysiaaktif) – Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Melayu Batu 16 Rawang mengambil inisiatif mengadakan program gotong royong membersih sungai di Jalan Sepakat, di sini semalam.

Pengerusinya Ir Adnan Ahmad, berkata di samping membersihkan sampah di kawasan sungai program tersebut dapat merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung khasnya generasi muda.

“Paling penting adalah untuk meningkatkan ukhwah antara penduduk kampung terutama generasi kedua dan ketiga yang kurang mengenali antara mereka atau golongan tua di kampung ini.

“Alhamdulillah, aktiviti gotong royong ini menjadi medan terbaik untuk saling mengenali. Di samping membersih sungai, silaturahim turut terjalin,” katanya ketika ditemui selepas program Pengurusan Sampah Lestari dan Gotong Royong Membersih Sungai.

Menurut Adnan, pihaknya bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan I Hijau Kancing, Tanjak Emas, Persatuan Kebajikan Amal Madani, Starlight Motor Club dan Wanita Ikram bergabung menjayakannya.

Antara sampah-sampah yang berjaya dikumpulkan dalam program membersih sungai di Jalan Sepakat, Kampung Melayu Batu 16 Rawang semalam.

Antara sampah-sampah yang berjaya dikumpulkan dalam program membersih sungai di Jalan Sepakat, Kampung Melayu Batu 16 Rawang semalam.

“Kita jemput Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk memberi taklimat tentang meningkatkan kebersihan sungai, mengurus sampah dan alam sekitar.

“Aset-aset seperti sungai dan hutan yang dikurniakan ini perlu dijaga agar ekosistem di kampung ini dapat dikekalkan,” katanya.

Tambah Adnan, beberapa acara sampingan turut diadakan seperti peraduan mewarna kategori kanak-kanak, demontrasi bahan kitar semula dan cabutan bertuah yang menarik minat 150 orang yang hadir.

Sementara itu, Jurutera JPS Daerah Gombak Ir Hasrul Hisham Abdullah, berkata sungai di Kampung Melayu Batu 16 merupakan antara yang terbaik di daerah Gombak.

“Sungai di kampung ini berada dalam kelas satu iaitu sangat bersih, maknanya kita boleh adakan rekreasi dan boleh sentuh air tanpa memerlukan sebarang rawatan.

“Pihak JPS berterima kasih kepada penduduk kampung ini yang sentiasa menjaga kebersihan sungai. Bukan mudah untuk dilakukan tetapi kerjasama penduduk kampung dapat merealisasikannya,” ujarnya.

Menurut beliau, JPS peruntukkan RM500,000 setahun untuk membersih sampah dalam sungai di daerah Gombak dan beliau menagih kerjasama semua pihak khasnya penduduk kampung untuk menjaga kebersihan sungai.

-SH

Tinggalkan komen anda