Laporan /foto: Juslie Bacle/Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) memberi banyak manfaat kepada penerima yang didaftarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Inanam, Dr Lenny James, PeKa B40 adalah satu insentif kerajaan melalui KKM bertujuan menampung keperluan kesihatan dengan memberi fokus terhadap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).
“Skim ini ditawarkan kepada rakyat dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah yang dikenali sebagai kumpulan B40.
“Mereka yang layak mestilah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan berumur 50 tahun dan ke atas.
“Penerima PeKa B40 perlu menjalani pemeriksaan saringan kesihatan di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan PeKa B40 dan ia adalah percuma sebelum mereka mendapat manfaat atau insentif seterusnya.
“Selepas itu, mereka boleh mendapat bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan tambang pengangkutan, ” katanya ketika menyampaikan taklimat PeKa B40 dalam Program Santai Minda di Kampung Kiambalang Inanam, pada Ahad.
Turut diadakan pada program tersebut adalah taklimat dan pendaftaran E-Kasih oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pemeriksaan kesihatan oleh Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN), taklimat keusahawanan oleh GIATMARA Negeri Sabah dan pameran serta edaran bahan-bahan penerbitan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Jabatan Penerangan Kota Kinabalu (JaPen).
Program anjuran JaPen itu dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.13 Inanam, Latif Mopuas selaku wakil Pembantu Menteri Kewangan, Kenny Chua.
Hadir sama, Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Peter Tong Ah Ping, Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK Kampung Kiambalang Inanam.