Laporan/foto: Norhasliza Hamzah, Nor Sofian Abdul Manan/Nazri Rapaai, Mohd Najib Mohaini (Segamat)
LABIS, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 di daerah Segamat mengetengahkan konsep agro tani, ternakan dan perikanan serta industri kecil dan sederhana (IKS).
Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyaksikan aktiviti menuai cendawan tiram, mengumpul telur itik, gotong-royong memasak bubur lambuk serta meluangkan masa melihat ternakan sangkar ikan air tawar dan ternakan rusa di sekitar Felda Chemplak, di sini, pagi tadi.
Baginda Sultan Johor memulakan jelajah hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 ke daerah Segamat sejauh 76 kilometer dari Istana Muar sekitar jam 8 pagi dengan keberangkatan tiba baginda di Padang Awam Felda Chemplak, Labis diiringi Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar.
Turut berangkat, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar serta Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Sementara itu, Raja Zarith Sofiah berkenan menyampaikan sumbangan kepada penerima warga emas dan orang kurang upaya serta berangkat melawat ke khemah-khemah pameran “The Jauhar Collection” untuk melihat demonstrasi oleh para pemenang pertandingan bagi gasing sepetik tenang, cepu gerhana Labis, paip si api-api, tanjak manik, sejadah patchwork dan dompet resmi padi.
Permaisuri Johor juga turut berkenan mencanting batik dan turut serta dalam demonstrasi membuat bahulu, dodol dan kek di khemah produk-produk IKS dan diikuti dengan lawatan ke pembuatan kraf dan hasil seni.
Dalam pada itu, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar berangkat ke acara menyumpit belon, membuat pelepasan acara sukan rakyat dan turut melawat ke khemah-khemah IKS berasaskan kayu.
Gelagat spontan Tunku Abdul Rahman mengajak adindanya, Tunku Abu Bakar turut serta dalam acara tarik tali sehingga membantu kemenangan peserta turut mencuit hati orang ramai semasa acara sukan rakyat.
Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani, barisan EXCO kerajaan negeri dan Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahman Salleh.
Selepas meluangkan masa hampir 90 minit bersama rakyat jelata, baginda mengetuai konvoi KMJ 2019 ke daerah seterusnya, iaitu daerah Kluang dan akan berakhir di daerah Mersing dengan menyaksikan Sultan Johor menjelajah sejauh 269 kilometer.