Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Penjawat Awam Labuan Gembira Kenaikan Gaji

By 3 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Penjawat Awam di pulau ini melahirkan perasaan gembira dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kenaikan gaji lebih 13 peratus.

Menurut seorang Pegawai Tadbir Diplomatik Junaidah Arbain, 39, pengumuman itu merupakan berita gembira buat seluruh penjawat awam dan mampu merancakkan ekonomi negara.

“Berita ini bukan sahaja sesuatu yang baik untuk penjawat awam malah akan memberi impak positif kepada aktiviti ekonomi secara langsung kerana kuasa beli pengguna turut meningkat,” katanya semalam.

Junaidah Arbain dan Emil Taihin.

Bagi Penguasa Kanan Bomba II Emil Taihin, 48, merasakan pengumuman tersebut merupakan langkah positif setelah sekian lama kenaikan gaji penjawat awam tidak dikaji.

“Keputusan kerajaan ini akan membantu penjawat awam mengimbangi keadaan ekonomi negara dan diharap semua penjawat awam lebih berusaha gigih dalam pekerjaan kerana kita rasa dihargai oleh kerajaan,” kongsinya.

Sementara itu, seorang Pembantu Awam Redzuan Ariffin Anzy, 40, turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman itu.

Redzuan Ariffin Anzy.

“Kenaikkan gaji ini memang sepatutnya dilaksanakan kerana membantu semua kakitangan awam dimana kos sara hidup semakin meningkat dan diharap juga harga barangan mentah tidak dinaikkan,” jelasnya.

Seorang Pembantu Operasi Halijah Md Jidi, 45, pula menganggap kenaikan gaji yang bakal dinikmati itu hadir tepat pada masanya.

“Kenaikan gaji memang satu langkah yang terbaik dilakukan kerajaan kerana membantu menangani isu kos sara hidup selain memberi gambaran bahawa ekonomi negara sedang berada dalam prestasi terbaik,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Anwar Ibrahim mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara mulai 1 Disember depan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda