Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Cerita Anda Kebanggaan Kami; Ungkapan Jiwa Warga Sarawak

By 5 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Kebanggaan rakyat Sarawak adalah rupa bumi yang menarik, alam semulajadi yang tulin, suasana hidup yang pelbagai dengan kelainan dan  keunikan yang sentiasa terjalin kukuh antara kaum dan agama sehingga membentuk sebuah negeri yang aman dan harmoni.

Begitulah ungkapan yang dizahirkan oleh penulis-penulis yang mengikuti ‘Unity Short Story’ anjuran Sarawak Development Institute dan Yayasan Perpaduan Sarawak tentang kelainan dan keunikan Sarawak. Seramai enam penulis telah terpilih dan menerima hadiah  yang disampaikan oleh Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Dengan tema ‘Your Story Our Pride’ merupakan satu wadah untuk menzahirkan perasaan para  peserta  melalui pertandingan penulisan pendek tentang keunikan, keindahan, kelainan Sarawak tentang budaya, makanan, perayaan, sambutan, agama, pegangan dan sebagainya.

Majlis yang diadakan di Tebingan Kuching dirasmikan oleh YABhg Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Ia dihadiri oleh lebih  500 orang terdiri dari ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat, budayawan serta  ahli-ahli NGO.

Program ini turut mendapat sokongan rakan kongsi daripada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Faradel Media.

Di dalam ucapan, Datu Aloysius Dris, CEO Yayasan Perpaduan Sarawak menerangkan tujuan pertandingan penulisan pendek tersebut adalah untuk menunjukkan rasa cinta rakyat Sarawak terhadap keunikan dan kelainan negeri ini. Pertandingan tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga diiktiraf oleh Malaysia Book of Records dengan penyertaan seramai 1770 orang,

Penyertaan tersebut dinilai oleh panel-panel yang berwibawa dan hanya 1000 penyertaan dipilih bagi  tujuan  memilih pemenang, pendokumentasian dan pameran, Jalan ke 1000 cerita ini adalah yang mengisahkan pengalaman hidup para penulis tentang kepelbagaian Sarawak.

Cerita pendek dari 50 hingga 200 perkataan ini menggambarkan kehidupan kisah rakyat Sarawak  terdiri lebih daripada 42 kumpulan etnik dan sub-etnik yang hidup di bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Mereka terdiri daripada  rakyat berbagai warna kulit, rupa, budaya, agama, bahasa, pegangan, makanan, pakaian, adat resam dan sebagainya.

Salah satu daripada cerita pendek yang dipamerkan di khemah pameran

Salah satu daripada cerita pendek yang dipamerkan di khemah pameran

Melalui video pendek yang dipaparkan  di majlis tersebut kesemua responden memuji hidup di Sarawak yang penuh harmoni dan berbangga menjadi warga Sarawak yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama namun hidup harmoni dan penuh toleransi.

Menurut Ahmad Faizal Osman, hampir  semua penduduk Sarawak merayakan setiap perayaan dan mereka saling berkunjung tidak mengira bangsa dan agama. Manakala Agnes Mary Toner, pensyarah di UCSI mengatakan rakyat Sarawak sentiasa menyambut pelbagai perayaan walaupun mereka berlainan bangsa dan agama.

Manakala di dalam ucapan Ketua Menteri Sarawak yang diwakilkan kepada Datuk Julaihi Narawi, beliau mengatakan keunikan dan kepelbagaian inilah yang menjadi intipati penting dalam membentuk sebuah negeri yang maju di Malaysia.

“Di Sarawak ramai penduduk yang berkahwin campur dan menjadi anak-anak ‘hybrid’ atau lebih dikenali sebagai Anak Sarawak.”

“Walaupun dulu sebahagian daripada golongan cerdik pandai belajar di sekolah agama Kristian serta belajar kitab namun tidak mengubah akidah pelajar muslim. Kesalinghubungan yang baik dan mesra dalam kalangan pelajar berbagai agama pada waktu itu menjadi tunjang pengukuhan hubungan silatultrahim dalam kalangan pelajar dan warga sekolah,” ujar beliau lagi.

Malah menurut Ketua Menteri lagi, di Sarawak gereja dan masjid boleh dibina bersebelahan manakala di dalam kedai-kedai makanan pula mempunyai gerai-gerai yang dimiliki oleh berbagai kaum.

Keunikan dan kelainan inilah yang mengukuhkan hubungan antara kaum dan mereka saling bekerjasama, membantu, menyokong dan mempraktikkan kehidupan antara silang agama dan budaya ini.

Tinggalkan komen anda