Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kerajaan Selangor Usaha Tingkatkan Ekonomi Masyarakat Desa

By 3 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Hulu Selangor)

HULU SELANGOR, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan Selangor sentiasa berusaha membuka peluang untuk rakyat khususnya masyarakat desa dalam meningkatkan ekonomi melalui inisiatif yang diwujudkan kerajaan negeri.

Exco Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata peluang terbaru adalah dengan melaksanakan Program Saran Ekonomi Desa.

“Projek perintis di Kampung Kuantan Kuala Selangor ini mengambil masa enam bulan bermula dari awal bulan Ogos 2019 melalui penglibatan penduduk kampung yang bertujuan melahirkan 25 usahawan baru berpendapatan RM5,000 sebulan.”

Rodziah (kiri) melihat aktiviti gunting rambut percuma sempena Program Sayangi Desa di Felda Sungai Tengi.

Rodziah (kiri) melihat aktiviti gunting rambut percuma sempena Program Sayangi Desa di Felda Sungai Tengi.

“Bancian dari rumah ke rumah dibuat untuk mengenal pasti kemahiran mereka seperti dalam bidang makanan, cenderahati dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, anak-anak muda akan dikumpulkan untuk diberi pendedahan melalui kursus sehingga mereka berjaya mengeluarkan produk mengikut bidang kemahiran masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Sayangi Desa peringkat daerah Hulu Selangor di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Tengi, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow, Pegawai Daerah Hulu Selangor Musa Ramli dan Pengurus Felda Wilayah Trolak, Hasrul Nizam Hassan.

Rodziah (dua dari kanan) melawat kaunter pameran bahan penerbitan Jabatan Penerangan Selangor semasa Program Sayangi Desa.

Rodziah (dua dari kanan) melawat ke kaunter pameran bahan penerbitan Jabatan Penerangan Selangor di Program Sayangi Desa.

Mengulas lebih lanjut, Rodziah berkata, hasil tinjauan beliau mendapati Felda Sungai Tengi juga mempunyai banyak potensi ekonomi yang boleh digembeling dan memberi pendapatan kepada penduduknya.

“Sekiranya 100 daripada 650 unit rumah di kampung ini memulakan projek perusahaan daging arnab dan burung puyuh pasti ianya mendatangkan pendapatan tambahan di samping hasil kelapa sawit yang diusahakan di kampung ini jika sesuatu berlaku seperti kejatuhan harga komoditi,” ujarnya.

Sementara itu, Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga memaklumkan Program Sayangi Desa peringkat daerah Hulu Selangor adalah kali kelima dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diterajui oleh beliau.

“Alhamdulillah saya sangat gembira dan mengucapkan tahniah kerana program di Felda Sungai Tengi ini mendapat sambutan baik daripada lapan mukim di daerah ini.”

“Elemen yang ingin diterapkan dalam program ini agar masyarakat perlu menyayangi desa dan menjalinkan semula masyarakat dengan budaya di samping aspek pembangunan ekonomi untuk meningkatkan pendapatan mereka tercapai dengan jayanya,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, kombinasi agensi-agensi kerajaan dan Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) menampakkan kerjasama yang baik sehingga program ini berjaya dilaksanakan.

Program Sayangi Desa daerah Hulu Selangor adalah program kelima dilaksanakan tahun ini selepas diadakan di daerah Hulu Langat, Petaling, Klang dan Kuala Selangor.

Antara pengisian program ini adalah larian merdeka, pertandingan Battle Art, pertandingan mewarna kanak-kanak, sukan rakyat, tukar minyak hitam percuma, pameran agensi kerajaan dan kenduri rakyat.

-NI-

Tinggalkan komen anda