Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Generasi Muda Perlu Dipupuk Jati Diri Bangsa Mulai Sekarang

By 3 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah/Jurufoto KKMM (Putrajaya)

MELAKA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata semangat patriotisme dan jati diri bangsa unggul perlu dipupuk dalam diri generasi muda negara sepanjang masa kerana keperibadian ini akan mencerminkan keperibadian negara pada masa akan datang.

“Hal ini dapat melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi dan secara tidak langsung menjadi individu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” katanya ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, di sini.

Tun Mahathir turut menuntut setiap rakyat perlu ada rasa tanggungjawab kerana imej kecemerlangan negara banyak bergantung kepada kemampuan mengharungi segala cabaran dan rintangan untuk meraih kejayaan.

“Kita perlu fokus kepada tahap kemajuan lebih cemerlang dengan memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan sedia ada supaya ia akan menjadi garis panduan dan ikutan generasi masa hadapan.

“Rakyat hendaklah sama-sama bangkit dengan penuh azam dan tekad untuk membantu kerajaan mencorakkan kemakmuran bersama ini,” katanya yang hadir tanpa ditemani isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Tun Mahathir turut menyentuh soal persefahaman dan penyatuan kaum yang terus menjadi agenda penting kerajaan.

“Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan menjauhi amalan-amalan buruk juga perlu terus diterapkan dalam masyarakat di negara ini.

“Marilah semua rakyat bersama-sama menjayakan usaha ini serta menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” untuk sebuah negara yang maju,” katanya lagi.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, menteri-menteri Kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

-SH

Tinggalkan komen anda