Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

JaPen Anjur Pelbagai Program Bangkit, Semarak Semangat Patriotisme

By 8 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/ Vicky Matanjang (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Pada bulan Ogos setiap tahun, Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia pasti bersiap sedia untuk menganjurkan pelbagai program bagi membangkitkan dan menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan rakyat.

Pengarah JaPen Sabah, Norzawiyah Bulka berkata, sempena sambutan bulan kebangsaan dan juga kibarkan jalur gemilang, JaPen telah pun mengatur dan menyusun beberapa program yang mana objektif utamanya adalah untuk memasar dan meningkatkan pemahaman dasar kerajaan kepada rakyat.

“Antara lain objektifnya lagi ialah untuk menyuburkan semangat patriotisme rakyat melalui semangat kempen kibar jalur gemilang, menggelorakan sambutan bulan kebangsaan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur serta menggalakkan penglibatan secara aktif generasi muda.

“Jadi setiap tahun kita akan mengatur beberapa program dan pada tahun ini aktiviti utama yang akan JaPen laksanakan adalah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang akan dilancarkan pada 9 Ogos ini oleh Ketua Menteri di Padang Daerah Ranau.

“Konvoi ini akan mengelilingi negeri Sabah sejauh 1500 kilometer bermula dari daerah Tuaran pada 20 Ogos dan akan berakhir di Dataran Esplanade Pekan Sipitang pada 29 Ogos ini.

“Selain daripada itu konvoi KMJG ini turut menyertai acara perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri yang akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu pada 31 Ogos nanti,”jelasnya.

Norzawiyah Bulka

Norzawiyah Bulka

Beliau berkata demikian sejurus menghadiri Sidang Media Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di Dewan Undangan Negeri, pada Rabu.

Tambahnya, selain konvoi KMJG, JaPen juga turut mengadakan pelbagai program sempena Bulan Kebangsaan seperti Pertandingan Pidato Kenegaraan, Pengisahan Kenegaraan, Signature @PMR UTC, Apa Kata Anak Malaysia dan yang paling mendapat sambutan ialah Program Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan.

“Kita menyeru kepada semua pihak terutama pemilik premis persendirian, kerajaan dan swasta untuk menyertai pertandingan ini yang akan dibuka penyertaannya pada 21 Ogos hingga 7 September nanti.

“JaPen Sabah juga akan mengadakan program Karnival Merdeka @Wisma Dang Bandang pada 7 September dengan pelbagai pengisian antaranya pertandingan Lukisan Mural Merdeka, Doodle Sayangi Malaysiaku, 5KM Fun Run Merdeka, Mewarna Kanak-Kanak, Bintang Patriotik Merdeka, Puisi Merdeka, dan Pameran Sayangi Malaysiaku.

“Turut diadakan juga Kembara Merdeka Jalur Gemilang Berkereta Api yang akan diadakan pada 8 September bermula dari Kota Kinabalu hingga ke Beaufort.

“Semua program ini diadakan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat khususnya di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua masyarakat agar sama-sama mengibarkan jalur gemilang di semua premis perniagaan terutama di pejabat-pejabat kerajaan, swasta, sekolah, rumah persendirian dan kenderaan sebagai tanda kasih dan cintanya kita terhadap negara Malaysia.

ER

Tinggalkan komen anda