Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Konsert di Udara, MMM Terima Pengiktirafan MBR

By 8 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:Roshidayah Idris/Ahmad Sarujin Seting(Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Minggu Muzik Malaysia (MMM) diberi pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBR) bagi Konsert di Udara sebagai “Persembahan Muzik Secara Langsung di Paras Tertinggi”.

Penerbangan Airasia AK5106 memecahkan rekod dengan persembahan selama 30 minit pada ketinggian 38,000 kaki dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu selama dua jam empat puluh minit.

Sylvester semasa menyampaikan ucapan.

Sylvester semasa menyampaikan ucapan.

Pengerusi penganjur MMM 2019, Sylvester Fan berkata, MMM adalah sebuah platform yang menghubungkan jenama, perniagaan dan orang ramai melalui muzik.

“MMM bertujuan menghubungkan orang ramai serta pelancong di seluruh Malaysia menerusi muzik dan konsert di udara merupakan salah satu inisiatif untuk menyokong tujuan ini.

“MMM juga bertujuan bagi menyokong bakat-bakat tempatan serta mempromosi pelancongan Malaysia di seluruh dunia,”katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari anjuran Pelancongan Malaysia serta penyampaian pengiktirafan MBR, hari ini.

Michael semasa menyampaikan ucapan.

Michael semasa menyampaikan ucapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBR, Datuk Michael Tio mengucapkan tahniah kepada pihak MMM atas kejayaan mereka.

“MBR sangat berbangga memberikan pengiktirafan ini kepada MMM kerana kejayaan seperti ini yang mendorong dan menjadi sumber inspirasi kepada yang lain-lain.

“Kejayaan yang dicapai adalah bukti sebenar semangat ‘Malaysia Boleh’ dan kami sangat teruja melihat apa yang akan dibawa MMM selepas ini,” ujarnya.

Bintang MMM, Ayda (kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada Michael (kanan) sambil diperhatikan Ahmad Shah Hussein.

Bintang MMM, Ayda (kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada Michael (kanan) sambil diperhatikan Ahmad Shah Hussein.

Mini konsert sulong di atas udara menampilkan bintang MMM 2019, Ayda Jebat serta kumpulan indie Shadow Puppet Theatre.

MMM yang berlangsung selama seminggu akan diadakan di Kuala Lumpur dari 9 hingga 15 September menampilkan artis-artis tanah air serta kumpulan indie terpilih daripada SKOWT, sebuah platform yang memberi fokus kepada artis yang tidak terikat dengan kontrak.

Konsert akhir MMM juga akan berlangsung pada 14 dan 15 September depan bersempena Festival Permainan Malaysia dan Sambutan Hari Malaysia.

Kumpulan Shadow Puppet Theatre menyampaikan dua buah lagu pada majlis berkenaan.

Kumpulan Shadow Puppet Theatre menyampaikan dua buah lagu pada majlis berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Pelancongan Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau, wakil penaja dan rakan kerjasama MMM antaranya Airasia BIG, Spritzer serta DOREMi.

ER

Tinggalkan komen anda