Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

KMJG 2019 Membawa Mesej Penting Mengenang Perjalananan Sebuah Negara Merdeka

By 7 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto : Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)

TANGKAK, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Jalur gemilang bukan hanya sekadar sehelai kain yang berkibar kosong, namun ia merupakan simbol penting bagi rakyat Malaysia kerana tanpanya tiada makna kehidupan bernegara.

Negara kita telah mengecapi kemerdekaan selama 62 tahun dan pelbagai perubahan dirasai seluruh rakyat Malaysia dan ia turut melibatkan sistem pentadbiran negara yang lebih efisyen dan pandang ke hadapan demi untuk mencapai status negara maju pada masa akan datang.

Segala usaha perlu dilipat ganda dan ditambah baik bagi menjamin kesejahteraan serta nikmat yang bakal diwarisi oleh generasi akan datang dan semua ini dilakukan bukan kerana keghairahan mengejar pembangunan tetapi ia dijadikan sebagai kompas masa depan untuk mengajar bahawa kelemahan negara bakal mengundang penjajahan dalam bentuk baharu.

WhatsApp Image 2019-08-07 at 8.58.45 AM

Pertandingan mewarna turut diadakan di SJKC Kung Yu Kundang Ulu Tangkak.

Bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, telah diadakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Johor.

Pelbagai aktiviti telah disusun di Rumah Limas Kundang Ulu bagi menyemarakkan lagi sambutan kempen kibar Jalur Gemilang dan diantaranya ialah pertandingan memancing udang, sampan berhias, pertandingan gubahan, pertandingan memasak dan lebih menggamatkan lagi suasana turut berlangsung pertandingan karaoke bintang patriotik yang menerima sambutan hangat dari pelbagai lapisan masyarakat.

Pengisian aktiviti turut diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggung Ahmad dan SJKC Kung Yu yang mana para pelajar mengambil peluang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang telah dirangka bagi memeriahkan lagi sambutan pada hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal beramah mesra bersama peserta konvoi KMJG 2019 sebaik tiba di Rumah Limas Kundang Ulu.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal beramah mesra bersama peserta konvoi KMJG 2019 sebaik tiba di Rumah Limas Kundang Ulu.

Kemuncak sambutan pada hari ini adalah ketibaan para peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang  (KMJG) 2019 yang disambut penuh meriah oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta barisan EXCO Kerajaan Negeri di Rumah Limas Kundang Ulu.

Dr Sahruddin berkata majlis seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim, persefahaman, kemesraan dan kerjasama antara masyarakat dan di samping itu ia juga merupakan platform terbaik untuk mengenang perjalanan negara sebagai sebuah negara yang merdeka dan bangsa yang bermuafakat.

Beliau turut menyeru kepada seluruh rakyat di negeri Johor dan seluruh rakyat Malaysia agar mengibarkan Jalur Gemilang sebagai cara menzahirkan rasa kasih dan cinta pada tanah air.

“Setiap daripada kita harus menerapkan semangat patriotik demi negara tecinta  dan saat Jalur Gemilang dinaikkan sehingga ke hujung tiang bendera, kita perlu melihat betapa megahnya ia berkibar kemas dan gagah, begitulah kita sebagai rakyat yang bernaung di bawah kibarannya,”ujarnya lagi ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Johor di sini.

Dr Sahruddin   melakukan pelepasan peserta konvoi KMJG 2019.

Dr Sahruddin melakukan pelepasan peserta konvoi KMJG 2019.

Pada majlis itu, beliau turut melakukan pelepasan peserta konvoi KMJG 2019 yang akan meneruskan perjalanan ke daerah Segamat bagi mengakhiri siri jelajah KMJG di negeri Johor sebelum ke negeri Pahang keesokan harinya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Dzulkefly Ahmad serta barisan EXCO Negeri Johor dan Pegawai-Pegawai Daerah di Negeri Johor.

-NI-

 

Tinggalkan komen anda