Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

KPLB Sabah Meterai Kerjasama Dengan JMG Sabah

By 20 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU , 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah telah memeterai kerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah bagi mengenal pasti sumber bawah tanah sebagai bekalan air kepada kampung-kampung di luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama itu penting kerana JMG mempunyai kepakaran dan teknologi hidrogeologi mengenal pasti sumber-sumber air bawah tanah dan juga turut sama membina sistem telaga tiub bekalan air dari bawah tanah.

“Sebagai permulaan, kita menjemput JMG sebagai sebuah ahli baru dalam Jawatankuasa Pemandu Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan perbincangan pertama telah diadakan pada hari ini.

“JMG juga akan memberikan taklimat kepada jawatankuasa dan pegawai-pegawai daerah terlibat dalam mesyuarat akan datang, selain MESEJ, kita juga menjemput JMG membuat kajian sumber air di perkampungan Program Kampung Sejahtera, iaitu sebuah lagi program di bawah KPLB Sabah.

“Oleh sebab Program MESEJ dan Program Kampung Sejahtera mempunyai peruntukan khusus di KPLB Sabah, dan dengan adanya sokongan dan bantuan kepakaran daripada JMG, kita berharap dapat menyelesaikan sebahagian masalah bekalan air di perkampungan program ini, terutama yang jauh daripada sistem retikulasi paip Jabatan Air Sabah,” katanya.

Ewon berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada JMG Sabah di pejabat beliau, di sini, hari ini.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Penanggung Pengarah, Paulus Godwin dan disertai oleh Penanggung Timbalan Pengarah (Sumber Mineral) Webster Wong; Penanggung Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Makmal) Dr Morius Bantas; Ketua Aktiviti Geologi Kejuruteraan Dr Frederic Tating; Ketua Aktiviti Hidrogeologi Jaineh Lingi dan Pegawai Geosains Kanan, Mazrali Always.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan dan pegawai-pegawai kanan KPLB Sabah.

“Daripada taklimat yang diberikan oleh JMG Sabah dan berdasarkan projek-projek telaga tiub mereka sebelum ini, ia memerlukan kos di antara RM25 ribu hingga RM160 ribu untuk sebuah projek telaga tiub air bawah tanah tertakluk kepada jenis tanah dan kedalaman tiub. Jadi jumlah ini berada dalam lingkungan skop projek kecil yang boleh dilaksanakan oleh KPLB Sabah.

Ewon (tengah) mendengar taklimat ringkas daripada Jaineh(kiri) pada kunjungan tersebut.

Ewon (tengah) mendengar taklimat ringkas daripada Jaineh(kiri) pada kunjungan tersebut.

“Saya telah berpeluang mengadakan lawatan di beberapa perkampungan MESEJ dan Kampung Sejahtera sebelum ini, memang perkampungan ini masih berhadapan dengan masalah bekalan air kerana terletak jauh daripada sistem retikulasi paip Jabatan Air atau daripada sumber air terdekat sama ada sungai atau mata air.

“Ada yang bergantung sepenuhnya kepada takungan air hujan dalam tangki. Justeru, adalah menjadi harapan saya agar masalah ini dapat diselesaikan dengan kesediaan dan kesudian JMG bekerjasama dengan kita.
“Namun, kita akui juga bukan semua kawasan di Sabah mempunyai sumber air bawah tanah sepertimana dalam taklimat JMG. Apapun, kita berharap kepakaran mereka boleh membantu di beberapa tempat yang telah dikenal pasti.

“KPLB Sabah akan mengeluarkan peruntukan bersesuaian mengikut nasihat teknikal daripada JMG untuk membekalkan air kepada rumah-rumah di perkampungan MESEJ dan Kampung Sejahtera yang terlibat,” katanya.

Ewon turut berharap agar pelaksanaan telaga tiub air bawah tanah dapat diperluaskan ke kampung-kampung lain di seluruh Sabah sesuai dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kerajaan Negeri Sabah untuk membekalkan air di kawasan kampung menjelang tahun 2025.

Sementara itu, Paulus menyatakan bahawa Kerajaan melalui JMG telah memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta pada tahun ini untuk melaksanakan projek pembangunan sumber air bawah tanah di Sabah.

Katanya, antara kampung-kampung yang terlibat bagi tahun ini dalam pelaksanaan ialah Kg Kulambai di Kota Belud, Kg Salimpodon Darat, Kg Pompodon dan SMK Tandek di Kota Marudu dan Kg Namaus, Ranau. Manakala empat lagi kampung sedang dibuat kajian ialah Kg Gaur, Kg Nahaba dan Kg Tuguson di daerah Kota Belud dan Kg Kalibungan, Pitas.

“Selain itu, JMG juga sedang melaksanakan Projek Penilaian Rezab Air Tanah di Lembangan Kadamaian, Kota Belud.

“Projek Pembangunan Sumber Air Tanah di Kawasan Bermasalah Bekalan Air (BAT), Projek Penggunaan Air Tanah Sebagai Sumber Air di Loji-Loji Rawatan Air (LRA) yang menghadapi kekurangan sumber air, Program Pembangunan Water Balance Pengurusan Sumber Air Negara bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (NAWAB) dan Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut di daerah Beaufort dan Kuala Penyu bersama Jabatan Alam Sekitar (GAMBUT) juga sedang dilaksanakan oleh JMG,” katanya.

ER

Tinggalkan komen anda