Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Keunikan Malaysia Perlu Dijaga – Madius

By 20 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:Eviannie Kin/Johnny Kimlon (Kota Kinabalu)

TUARAN, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum adalah aset yang perlu dijaga, dipupuk dan dipelihara demi kelangsungan kemerdekaan negara.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, perlu diakui dan terima hakikat bahawa keunikan itu yang menjadikan rakyat Malaysia istimewa.

Peserta dari PDRM sedang memasang Jalur Gemilang di kenderaan.

Peserta dari PDRM sedang memasang Jalur Gemilang di kenderaan.

“Negara kita juga telah berjaya membuktikan bahawa perpaduan dan keharmonian kaum menjadi satu kebanggaan bagi semua rakyat Malaysia.

“Sabah, khususnya menjadi bukti yang mencerminkan perpaduan dan keharmonian meskipun rakyat hidup dengan dikelilingi oleh kepelbagaian etnik dan budaya serta agama,” ujarnya.

Norzawiyah menyampaikan ucapan.

Norzawiyah menyampaikan ucapan.

Madius berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Daerah Tuaran 2019 di Perkarangan Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, pada Selasa.

Dalam pada itu, Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah juga menyeru dan mengharapkan semua pihak agar tidak bergantung kepada pemberian bendera secara percuma.

Madius semasa ucapan.

Madius semasa ucapan.

“Tiada salahnya sekiranya kita mengeluarkan belanja untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, rumah-rumah, kenderaan dan di mana-mana tempat bersesuaian dengan penuh perasaan bangga dan kegembiraan bahawa ‘Malaysia ini kita punya’,” katanya.

Pada sambutan tersebut, Madius turut menyempurnakan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang terdiri dari 13 buah kenderaan Jabatan Penerangan termasuk penglibatan dari agensi kerajaan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Telekom (TM), Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Para tetamu kehormat mengibarkan Jalur Gemilang.

Para tetamu kehormat mengibarkan Jalur Gemilang.

KMJG akan merentasi seluruh daerah Sabah sebelum menyertai perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Bandaraya, pada 31 Ogos ini.

Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka berkata, kejayaan konvoi ini bergantung pada sokongan, semangat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta konvoi.

“Elemen itu perlu dalam menjayakan misi menjelajah sejauh kira-kira 1,500 kilometer seluruh pelosok Sabah yang melibatkan 23 Pejabat Penerangan Daerah demi memartabatkan negara yang tercinta.

Madius (dua dari kanan) menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG). Kelihatan sama Norzawiyah (kanan) dan Sofian (tiga dari kanan).

Madius (dua dari kanan) menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG). Kelihatan sama Norzawiyah (kanan) dan Sofian (tiga dari kanan).

“Semangat cinta kepada negara ini merupakan satu daripada ciri-ciri penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang berbilang kaum, agama dan budaya untuk hidup secara rukun dan damai,” jelasnya.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tuaran merangkap Pengerusi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Tuaran 2019, Mohd. Sofian Alfian Nair; Ketua Polis Tuaran, DSP Mohd Hamizi Halim dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jo-Anna Sue Henly Rampas.

ER

Tinggalkan komen anda