Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Lebih 3,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan kepada Pencari Kerja

By 16 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hazlinah Samsir / Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 125 majikan dalam Kembara Kerjaya Sabah 2019 Siri Dua anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Pada siri kali ini, kembara tersebut akan berlangsung di Hotel Tabung Haji, Kota Kinabalu pada 19 Ogos seterusnya ke empat lagi daerah iaitu Kudat pada 20 Ogos, diikuti dengan Kota Marudu, Ranau dan berakhir di Keningau pada 23 Ogos ini.

Pengarah JTK, Kamal Pardi berkata pihaknya menapis semua majikan yang terlibat dalam program ini mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Kita memastikan syarikat-syarikat swasta yang mengambil bahagian dalam program ini mematuhi gaji minimum yang ditetapkan iaitu RM1,100.

Kamal menerangkan mengenai Kembara Kerjaya Siri Dua kepada media.

Kamal menerangkan mengenai Kembara Kerjaya Siri Dua kepada media.

“Selain itu, bagi syarikat yang terletak di Semenanjung pula, kita memilih majikan yang dapat menyediakan kemudahan tempat tinggal atau asrama kepada pekerjanya.

“Sebahagian besar syarikat ini mengadakan temuduga terbuka dan keputusan juga akan diberikan pada hari yang sama.

“Oleh yang demikian, para pencari pekerjaan hendaklah datang dengan berpakaian kemas serta membawa dokumen yang diperlukan bagi menjalani sesi temuduga,” katanya dalam sidang media program berkenaan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Kamal mengajak orang ramai agar berkunjung ke kembara yang berlangsung di daerah mereka kerana jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan turut melakukan pameran di setiap lokasi yang terlibat.

“Penduduk sekitar khususnya dijemput hadir memeriahkan majlis kerana terdapat banyak informasi dari gerai pameran yang boleh didapati seperti latihan-latihan kemahiran yang disediakan dan banyak lagi,” kata beliau.

Kembara Kerjaya Sabah 2019 Siri Satu telah berlangsung pada Mac lepas, seramai 4,042 orang berjaya mendapat pekerjaan daripada 7,143 kekosongan jawatan yang ditawarkan.

ER

Tinggalkan komen anda