Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Melaka Lancar #IniRumahKita Pupuk Kesedaran Kebersihan

By 8 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)

AYER KEROH,  8 Ogos (Malaysiaaktif ) – Kerajaan Negeri Melaka melancarkan “#IniRumahKita” simbolik bagi memupuk amalan menjaga kebersihan dalam kalangan rakyat negeri yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, sebentar tadi.

Konsep atau idea #IniRumahKita sebenarnya cukup jelas dan baik mesejnya bahawa kesedaran tentang kebersihan dan penjagaan harus diberi kepada semua dan masyarakat harus dididik bahawa setiap tindakan itu akan memberi implikasi kepada mereka sendiri.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, kesedaran akan “rumah besar” ini memerlukan kerjasama  semua pihak khususnya masyarakat supaya rumah besar ini sentiasa bersih dan selamat untuk didiami.  Semua agensi yang terlibat termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan idea dan misi besar ini.

“Kita juga ingin memberi kesedaran betapa pentingnya kewujudan kerjasama strategik antara komuniti dengan sektor awam, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membangunkan komuniti. Tanpa penglibatan semua pihak, mustahil idea #IniRumahKita ini mampu dilaksana dengan jayanya.

“Kemajuan sesebuah pentadbiran itu bukan hanya diukur dari segi kemajuan kebendaan dan kemajuan ekonomi semata malah ia turut mencakupi sikap dan peradaban masyarakatnya. Apalah erti bangunan tinggi atau ekonomi yang baik tetapi kehidupan anggota masyarakat terhimpit dengan masalah yang paling asas dalam kehidupan iaitu kebersihan.

“Saya yakin bahawa tidak semua rakyat di negeri ini bersikap tidak menitikberatkan persoalan kebersihan, saya pasti ia hanya sebahagian bilangannya, namun suka untuk saya berkongsi bahawa negeri ini adalah tanggungjawab kita bersama.

“Kita juga bersyukur kerana pentadbiran kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan. Bertepatan dengan idea #IniRumahKita, ia dilihat seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kita tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’,” ujarnya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam dan Pelancaran #IniRumahKita.WhatsApp Image 2019-08-08 at 11.17.54

-KN

Tinggalkan komen anda