Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Semangat Malaysia Baharu Sematkan Di Hati dan Di jiwa

By 8 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Norhasliza Hamzah, Nor Sofian Abdul Manan/Khirul Nizam Zanil, Khairul Hadi Mahat (Segamat)

SEGAMAT, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Daerah Segamat  merupakan destinasi terakhir siri jelajah konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 di negeri Johor dengan pelepasan peserta dilakukan oleh Pegawai Daerah Segamat Abdul Rahman Salleh di perkarangan Hotel VIP Segamat.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah Dr Sulaiman Mohd Nor, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri  Johor  Zainudin Ismail, Ketua konvoi KMJG 2019 Sharom Abdullah, Penaung Kelab Permotoran J17 Tunku Datuk Hassan Tunku Mohammed Archibald dan Ikon KMJG 2019 Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet.

Dr Sulaiman Mohd Nor menegaskan bahawa kibaran bendera bukan sekadar dikibarkan tetapi memerlukan semangat Malaysia Baharu yang tersemat di jiwa.

ADUN Kemelah Dr Sulaiman Mohd Nor.

ADUN Kemelah Dr Sulaiman Mohd Nor.

“Dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’ ia menggambarkan semangat baharu kita sebagai rakyat Malaysia dan menekankan kepentingan perpaduan serta semangat  patriotik demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.”

“Ketika saya mendengar lagu Malaysia Bersih dimainkan, saya berasa amat teruja dan menghayati setiap bait-bait lirik lagu itu yang membawa makna yang mendalam untuk setiap rakyat Malaysia khasnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa mengibarkan bendera bukan sekadar kibar tetapi perlu dipupuk dengan semangat Malaysia Baharu, semangat Malaysia Bersih dan penuh kesungguhan serta tanamkan ia di dalam hati kita.

“Saya melalui Komuniti Harapan Malaysia, telah melakukan perbincangan di peringkat DUN Kemelah dan kami akan membuat promosi dan program kibar Jalur Gemilang untuk menyemarakkan lagi semangat Malaysia Baharu,” tambahnya semasa ditanya mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan pada bulan kebangsaan ini.

Konvoi KMJG19 berkesempatan merasa durian Segamat dalam majlis meraikan mereka di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Segamat.

Konvoi KMJG2019 berkesempatan merasa durian Segamat dalam majlis meraikan mereka di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Segamat.

Tambah beliau lagi, pada perancangan akan datang Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan turut diselitkan dengan aktiviti mempromosikan hasil produk keluaran daerah Segamat terutamanya durian Segamat.

Konvoi KMJG bermalam di daerah Segamat selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Konvoi KMJG 2019 sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Johor  yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal di Rumah Limas Kundang Ulu, Tangkak.

Para peserta konvoi turut diraikan pada satu majlis makan malam dan mereka di jamu dengan ‘durian Segamat’ yang mana daerah ini merupakan daerah pengeluar terbesar durian Johor dengan tanaman berkeluasan 4,372 hektar dan nilai pengeluaran sebanyak 10,546 tan pada tahun 2017 diikuti daerah Muar, Tangkak dan Batu Pahat.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor Zainudin Ismail menyampaikan cenderamata kepada Pengurus Besar Hotel VIP Segamat Abdul Ghani Abdul Rahim berupa baju edisi KMJG 2019 atas kerjasama menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor Zainudin Ismail menyampaikan cenderamata kepada Pengurus Besar Hotel VIP Segamat Abdul Ghani Abdul Rahim berupa baju edisi KMJG 2019 atas kerjasama menyemarakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019.

Manakala bagi peringkat negeri, Johor adalah pengeluar durian terbesar di negara ini diikuti Pahang dan Sarawak iaitu keluasan tanaman mencecah sehingga 15,630 hektar dengan nilai pengeluaran hasil sebanyak 692,464 tan pada tahun 2017.

-NI-

Tinggalkan komen anda