Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Peranan JMG Penting Semasa Kebakaran Belukar 

By 18 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang /Edward Muol (Sarawak)

MIRI, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) walaupun tidak sehebat pasukan-pasukan bencana lain namun peranan jabatan ini amat penting ketika berlakunya kebakaran belukar di kawasan Kuala Baram Miri.

Apabila berlaku kebakaran belukar, pasukan khas JMG akan terlibat secara langsung bagi membantu agensi-agensi berkaitan. Tugas mereka adalah untuk membekalkan air ke telaga takungan JPS sekaligus membantu pasukan bomba serta memantau keadaan telaga tiub.

Hampir saban tahun berlaku kebakaran terbuka sejak kawasan ini dibangunkan lebih kurang 20 tahun lalu. Melihat kepada masalah pembekalan air kepada bomba, JMG telah diarahkan untuk menjalankan kajian air bawah tanah untuk membina telaga-telaga tiub.

Air yang dipam ke kawasan berdekatan telaga tiub untuk membasah gambut bagi mengelak kebakaran

Air yang dipam ke kawasan berdekatan telaga tiub untuk membasah gambut bagi mengelak kebakaran

Telaga-telaga tiub ini dibina di kawasan strategik serta mudah diakses oleh kenderaan bomba. Ia merupakan alternatif bagi membekalkan air dengan cepat dan berkesan.

Sebelum telaga tiub dibina, kajian lapangan dibuat bagi mengenalpasti kawasan berpotensi untuk pembangunan. Pengerudian dilakukan dengan dua kaedah iaitu menggunakan mesin gerudi bagi telaga yang dalamnya melebihi 30 meter manakala kaedah ‘water jetting’ bagi telaga yang kurang daripada 30 meter.

Pada masa sekarang terdapat sepuluh buah telaga tiub berukuran enam inci hingga lapan inci diameter telah dibangunkan. Menurut Edward Muol, Ketua Penolong Pengarah Geosains, setiap telaga tiub mempunyai kadar luahan dan kedalaman yang berbeza. Telaga tiub KB19 berkedalaman 92.50 meter adalah yang paling tinggi kadar luahan iaitu 90 meter padu sejam.

Menurut beliau lagi, ketika ini JMG telah mengaktifkan empat buah telaga di sepanjang Jalan Miri – Sg Tujuh dan Tudan. Kerja-kerja pengepaman dilakukan dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari semenjak 3 Ogos lepas.

“Luahan air telaga tiub berdekatan Menara Tinjau adalah antara yang tertinggi dengan anggaran 90 meter padu sejam. Setiap telaga dipam lebih kurang 8 jam sehari. Air yang dipam akan disalur ke telaga takungan Jabatan Pengairan & Saliran(JPS) yang terletak berdekatan dengan akses jalan raya,” tambah Jonathan, Pembantu Kajibumi Kanan yang terlibat secara langsung dengan aktiviti ini sejak 10 tahun lalu.

Air yang dipam setiap hari dari beberapa telaga tiub lebih kurang 1800 meter padu bagi menampung kegunaan bomba. Di samping kerja-kerja mengepam, paras air di dalam telaga juga perlu dipantau bagi mengelak akuifer dan telaga tiub daripada kering serta rosak.

Datuk Amar Douglass Ugah Embas, Timbalan Ketua Menteri Sarawak melawat kawasan kebakaran

Datuk Amar Douglass Ugah Embas, Timbalan Ketua Menteri Sarawak melawat kawasan kebakaran

Walaupun JMG tidak terlibat dalam kerja-kerja memadam seperti yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Maritim yang menggunakan ‘Bombardier’ namun peranan JMG amat penting dalam kerja-kerja membekal air.

JMG juga turut membantu membasahi lapisan gambut di kawasan yang berdekatan Menara Tinjau bagi mengelak kawasan tersebut terbakar.

Kerjasama JMG dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat amat penting bagi menangani krisis bencana yang menyebabkan kawasan Miri kini dilanda jerebu yang teruk.

Walaupun peranan JMG di sebalik tabir namun usaha-usaha untuk membantu agensi-agensi lain tetap diteruskan agar kualiti udara di kawasan ini kembali stabil dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Tinggalkan komen anda