Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sains Untuk Kesejahteraan Alam Sekitar dan Masyarakat

By 5 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto : Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam

BATU PAHAT, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor 2019 yang telah berlangsung di Dewan Komuniti Parit Raja, Batu Pahat semalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan sains dan teknologi pada masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi yang juga wakil rasmi Menteri Besar Johor, Aminolhuda Hassan berkata tema Minggu Sains Negara pada tahun ini ialah “Sains Untuk Kesejahteraan” dan program ini bakal menjadi aspirasi yang amat signifikan kepada kehidupan seharian manusia kerana sains dan teknologi pasti memberi kesan yang besar terhadap kelestarian alam sekitar dan masyarakat.

“Penganjuran Minggu Sains Negara pada tahun ini merupakan kali kedua pelaksanaannya di seluruh negara dan negeri Johor mensasarkan penyertaan seramai 80,000 orang melalui pelbagai program yang direncanakan demi menggalakkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya pelajar-pelajar sekolah di seluruh negeri Johor.”

Tayangan montaj sewaktu gimik perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor 2019.

Tayangan montaj sewaktu gimik perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor 2019.

“Setiap program yang diatur sepanjang berlangsungnya Minggu Sains dan Teknologi ini menitikberatkan nilai kolektif dari pelbagai aspek terutamanya kesinambungan ilmu sains dan akademik, serta kemajuan semasa teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian kita,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor, semalam.

Beliau turut menekankan teras keempat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019 – 2030 iaitu Johor bakal menjadi penggerak zon perdagangan dan komuniti digital dimana pembangunan teknologi dan inovasi digerakkan secara mega untuk menggalakkan pemindahan teknologi dan kemahiran tinggi demi merancakkan dan memperkasa pertumbuhan kesejahteraan ekonomi yang lebih kreatif dan digital mengikut arus semasa,” katanya lagi.

Timbalan Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi MESTECC, Mohd Nor Azman Hassan ketika menyampaikan ucapan di Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor 2019.

Timbalan Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi MESTECC, Mohd Nor Azman Hassan ketika menyampaikan ucapan di Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor 2019.

Akademi Sains Malaysia yang bertindak selaku agensi peneraju bagi Minggu Sains Negara 2019 Peringkat Negeri Johor turut dibantu oleh Bahagian Sains Teknologi dan ICT (BICT) serta Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPEN) disamping mendapat kerjasama dari Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan sebagainya.

Timbalan Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Mohd Nor Azman Hassan berkata kerajaan amat serius dalam usaha menangani isu pencemaran plastik terutamanya plastik sekali guna yang memberi kesan negatif terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan ekonomi negara.

“Selaras dengan saranan kerajaan, MESTECC telah mengambil inisiatif dengan melancarkan kempen hindari penggunaan plastik sekali guna bagi memberi kesedaran dan mengajak masyarakat mengubah gaya hidup bagi mengawal pencemaran alam sekitar serta menghargai alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program tersebut.

Abdul Wafi Sulaiman Hassan dari Senggarang turut meluangkan masa berkunjung ke Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor 2019 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sains dan teknologi.

Abdul Wafi Sulaiman Hassan dari Senggarang turut meluangkan masa berkunjung ke Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor 2019 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sains dan teknologi.

Abdul Wafi Sulaiman Hassan, 14, dari SMA Arab Juwahir Al Ulum Senggarang berkata beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor berkunjung ke program ini bagi mengetahui lebih lanjut mengenai sains dan teknologi melalui pameran dan aktiviti yang disediakan dan berharap dengan adanya pameran sebegini dapat memberikan beliau inspirasi yang berguna untuk masa hadapan.

Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pertandingan pelapor cuaca, kuiz kahoot dan permainan dam ular serta pameran dari agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Meterologi Negeri Johor, Institute of Bioproduct, My Robots, Jabatan Kimia Negeri Johor dan lain-lain.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia Hazami Habib dan Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abbas.

-NI-

Tinggalkan komen anda