Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

KMJG 2019 Tiba Di Daerah Penghujung Benua Asia

By 5 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Krisha Selladurai/Khirul Nizam Zanil (Pontian)

PONTIAN, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Hari ketiga Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 menyaksikan para pesertanya menempuh perjalanan sejauh 335 kilometer bermula dari daerah Muar dan tiba di Terminal Pengangkutan Awam Pontian jam 12.30 tengahari.

Daerah Pontian yang terkenal sebagai ‘Penghujung Benua Asia’ menyambut ketibaan para peserta konvoi dengan kibaran Jalur Gemilang di sepanjang jalan Ayer Baloi dan Pontian Besar oleh 200 orang pelajar SMK Ayer Baloi dan SMK Sri Perhentian.

Para pelajar SMK Ayer Baloi teruja menyambut ketibaan konvoi KMJG 2019.

Para pelajar SMK Ayer Baloi teruja menyambut ketibaan para peserta konvoi KMJG 2019.

Jalur Gemilang lambang kedaulatan negara dan lambang patriotisme rakyat, amat wajar kibarannya disemarakkan di seluruh tanah air dan amalan mengibar Jalur Gemilang penting bagi menunjukkan semangat patriotisme, sekali gus menyemarakkan sambutan.

Pegawai Daerah Pontian, Zulkifly Mohd Tahir berkata KMJG membawa mesej yang amat bermakna mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menzahirkan rasa cinta dan bangga kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019.

“Bendera yang mewakili negara mampu mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air justeru Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia haruslah dihormati dan dihargai,” katanya lagi.

Beliau turut mengedarkan bendera kepada Ketua- Ketua Jabatan dan Agensi di daerah ini sebagai tanda simbolik program Kempen Kibar Jalur Gemilang daerah Pontian semasa majlis menyambut peserta konvoi.

Turut menyambut ketibaan konvoi KMJG adalah Ketua Polis Daerah Pontian Mustafar Bakri Salleh,  Ketua-ketua Jabatan Persekutuan, Negeri dan Daerah, Penghulu-penghulu Mukim, Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia dan semua pengusaha pengangkutan awam daerah Pontian.

Seterusnya, kembara diteruskan ke Johor Bahru yang merupakan destinasi terakhir konvoi pada hari ini.

-NI-

Tinggalkan komen anda