Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Pencapaian Akademik, Kokurikulum Seimbang Lahirkan Graduan Politeknik Berdaya Saing – Zainab

By 5 Ogos 2019Tiada komen5 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid / Ersugandi Marsuki (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Para pelajar diingatkan untuk terus bijak mengimbangi pencapaian akademik seiring dengan pencapaian kokurikulum agar mampu menjadi graduan yang berdaya saing seterusnya memenuhi keperluan industri.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Ts. Zainab Othman berkata, kejayaan seorang pelajar bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, sebaliknya nilai sebenar kecemerlangan pelajar berkait rapat dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum.

Tambahnya, tidak semua ilmu pengetahuan mampu diajar di dalam bilik kuliah, tetapi ilmu tersebut boleh diperolehi bila pelajar melibatkan diri dalam program persatuan dan aktiviti kokurikulum.

“PKK sentiasa komited dalam usaha melahirkan pelajar yang seimbang bukan sahaja dari segi akademik, sebaliknya cemerlang dari segi akhlak dan sahsiah.

Zainab (kiri) menyampaikan piala pusingan Anugerah Jabatan Cemerlang kepada Zuliana (dua kanan) sambil disaksikan oleh Mohd. Sahran dan pensyarah Melin Jopin (kanan).

Zainab (kiri) menyampaikan piala pusingan Anugerah Jabatan Cemerlang kepada Zuliana (dua kanan) sambil disaksikan oleh Mohd. Sahran dan pensyarah Melin Jopin (kanan).

“Sehubungan itu setiap pelajar harus bijak dalam mengimbangi kedua-dua kemahiran agar dapat menjadi graduan yang berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran alam pekerjaan kelak,” kata Zainab.

Zainab berkata demikian pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC) Sesi Disember 2018 anjuran Unit Peperiksaan PKK bertempat di Dewan Kuliah Utama PKK baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 237 pelajar daripada pelbagai bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang kerana berjaya mendapat himpunan purata nilai mata (HPNM) 3.6 dan ke atas bagi Sesi Disember 2018.

“Majlis ini adalah penting bagi menghargai para pelajar yang berusaha untuk cemerlang dalam bidang akademik dan seterusnya menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berusaha sehingga tamat pengajian.

“Majlis ini juga diharap akan menjadi platform dan motivasi kepada pelajar lain untuk mengikuti langkah mereka yang cemerlang kali ini,” tambahnya lagi.

Pada majlis itu, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) menerima Anugerah Jabatan Akademik Cemerlang Sesi Disember 2018 berdasarkan prestasinya yang melahirkan bilangan pelajar cemerlang tertinggi dalam kalangan enam jabatan akademik lain.

Ketua Jabatan JPH, Zuliana Aliman berkata, beliau amat gembira dengan penganugerahan sulung itu yang mana adalah hasil usaha yang padu daripada pensyarah dan pelajar yang komited dan seterusnya berjaya dengan cemerlang.

Antara pelajar JPH yang menerima anugerah pada kali ini adalah dua pelajar berkeperluan khas (ketidakupayaan pendengaran) yang mengikuti program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering.

Mohd. Aiman (kiri) dan Rupenus (kanan), antara pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti yang menerima anugerah pelajar cemerlang bersama penterjemah mereka, Nornazwa Nazihah.

Mohd. Aiman (kiri) dan Rupenus (kanan), antara pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti yang menerima anugerah pelajar cemerlang bersama penterjemah mereka, Nornazwa Nazihah.

Pelajar semester 3 Program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering, Mohd. Aiman Abdalih, 20, begitu teruja dan berpuashati dengan anugerah akademik sulung yang diterima sepanjang pembelajaran di Politeknik Kota Kinabalu.

Pelajar yang berasal daripada daerah Kudat itu sangat bersyukur dengan HPNM 3.72 yang diraih dan bersemangat untuk melipatgandakan usaha pada semester kali ini dan seterusnya.

“Saya amat gembira dan berpuashati kerana pertama kali mendapat anugerah pelajar cemerlang, Lebih-lebih lagi apabila segala usaha saya berjaya mendapat hasil dengan agregat 3.72, saya akan berusaha lebih gigih lagi untuk semester ini,” katanya melalui penterjemah Nornazwa Nazihah yang juga pelajar PKK.

Bagi Rupenus Sipai, 20, yang juga pelajar jurusan yang sama berkata kejayaan sulungnya ini amat bermakna baginya.

Berasal daripada Tuaran, anak ke-5 daripada 6 beradik ini sangat bersyukur kerana dapat membanggakan ibubapa dan keluarganya dengan meraih HPNM 3.70.

Menurutnya, kejayaan ini juga sekaligus membakar semangatnya untuk terus berusaha untuk mendapat prestasi yang lebih tinggi lagi pada semester akan datang.

Dg Intan Normaisarah Mohammad, pelajar Kejuruteraan Mekanikal salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang dengan purata nilai mata 3.71.

Dg Intan Normaisarah Mohammad, pelajar Kejuruteraan Mekanikal salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang dengan himpunan purata nilai mata 3.71.

Berbeza dengan Dayang Intan Normaisarah Mohammad, 22 berkata formula membaca topik-topik pembelajaran lebih awal bagi subjek berkaitan, sebelum menghadiri kelas dan sebelum diajar oleh pensyarah, merupakan resipi kejayaan baginya.

Pelajar semester 5 bidang Kejuruteraan Mekanikal itu seterusnya akan membuat ulangkaji dan latihan selepas kelas untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas dalam subjek-subjek diajar.

“Alhamdulillah, saya berjaya menerima anugerah ini buat kali kedua. Walaupun ada sedikit penurunan daripada HPNM lepas iaitu 3.80, tetapi saya berpuashati dengan kejayaan ini, dan akan berusaha lebih gigih lagi untuk semester akan datang.

“Saya sarankan kepada rakan-rakan saya untuk tidak belajar pada saat-saat akhir untuk mendapatkan keputusan yang terbaik,” katanya dengan penuh semangat.

Turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang kali ini adalah Mackson Voo Ken Yen, 36, pelajar Diploma Pemasaran daripada Jabatan Perdagangan.

Usia bukan penghalang untuk berjaya - Mackson antara pelajar yang konsisten menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi dua sesi berturut-turut.

Usia bukan penghalang untuk berjaya – Mackson antara pelajar yang konsisten menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi dua sesi berturut-turut.

Menariknya tentang Mackson, usia bukan penghalang untuk terus berjaya dalam bidang akademik.

Ini terbukti apabila beliau berjaya menerima anugerah pelajar cemerlang dua kali berturut-turut sejak mula memasuki Politeknik Kota Kinabalu pada Sesi Jun 2018.

“Saya amat bersyukur kerana berjaya membuktikan pada rakan-rakan dan para pensyarah bahawa usia bukanlah penghalang untuk berjaya, dan hari ini saya dapat buktikan dengan pencapaian HPNM 3.98, sedikit peningkatan dari semester lepas dimana saya memperolehi HPNM 3.96, ” katanya dengan penuh bangga.

Menurut anak kelahiran Papar ini, resipi utama kejayaannya adalah dengan menghadiri setiap kelas mengikut jadual yang ditetapkan, kerana dia percaya setiap sesi pasti akan ada benda baharu yang diajar dan dikongsikan oleh pensyarah.

Mackson juga akan berusaha untuk menghasilkan tugasan sebaik mungkin dan mendapatkan markah yang terbaik bagi penilaian berterusan.

Ini bagi mengelakkan dirinya tidak terlalu tertekan mendapatkan markah terbaik pada penilaian akhir nanti, dan nasihat yang sama turut disampaikan kepada rakan-rakan seperjuangannya.

Jabatan Cemerlang…. Zuliana (berdiri lima dari kiri) bersama pensyarah dan pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti yang menerima Anugerah Jabatan Cemerlang.

Jabatan Cemerlang…. Zuliana (berdiri lima dari kiri) bersama pensyarah dan pelajar Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti yang menerima Anugerah Jabatan Cemerlang.

“Saya nasihatkan rakan-rakan yang saya anggap adik-adik saya untuk berusaha sebaik mungkin dalam menghasilkan tugasan mereka semasa penilaian berterusan.

“Ini bagi mengelakkan mereka berada dalam keadaan tertekan dan stress untuk mendapatkan markah terbaik pada penilaian akhir nanti,” kata ayah kepada tiga orang anak ini.

Selain itu sesuai dengan gelaran mentor oleh rakan-rakannya, Mackson turut membantu dan membimbing rakan-rakan yang lemah dalam pembelajaran dengan menggunakan kaedah belajar berkumpulan.

Dia mendapati kaedah tersebut amat berkesan apabila rakan-rakannya menunjukkan peningkatan prestasi yang baik berbanding sebelum mereka menyertai kumpulan yang dibimbing olehnya.

“Pesanan saya kepada rakan-rakan seperjuangan untuk tidak berputus asa dan sentiasa fokus dalam pelajaran.

“Saya juga amat berterima kasih kepada keluarga saya khasnya anak-anak saya yang sangat memahami dan banyak memberi sokongan kepada saya, terutama apabila tiba peperiksaan akhir, mereka akan beri saya ruang untuk fokus kepada pelajaran saya tanpa gangguan, “katanya lagi.

Heznan(tengah) bersama pegawai dan kakitangan unit peperiksaan.

Heznan(tengah) bersama pegawai dan kakitangan unit peperiksaan.

Bertugas sebagai penjawat awam di Mahkamah Negeri Sabah sebelum ini, Mackson membuat keputusan untuk mengambil cuti sambil belajar bagi melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam bidang Pemasaran di Politeknik KK pada kemasukan Sesi Jun 2018.

Mackson juga merupakan ahli majlis tertinggi bagi Majlis Perwakilan Politeknik Kota Kinabalu serta memegang jawatan EXCO Kelab dan Persatuan.

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang anjuran Unit Peperiksaan PKK, dilaksanakan dua kali setahun mengikut sesi.

Pada majlis itu, Zainab menyampaikan sijil kepada semua pelajar cemerlang termasuk sijil, hamper barangan dan piala pusingan bagi Anugerah Jabatan Cemerlang, disaksikan lebih 300 orang terdiri daripada para pelajar, pensyarah, ketua program serta ketua jabatan akademik.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Mohd. Sahran @ Awang Mohidin, Ketua Unit Peperiksaan, Heznan Hassan serta Ahli Pengurusan Politeknik Kota Kinabalu.

ER

Tinggalkan komen anda