Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Seorang Cedera Kebakaran di FPL

By 2 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Md Khairul Azad Yunus/Azaral Hamid (Labuan)

LABUAN, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Warga Financial Park Labuan (FPL) dikejutkan dengan amaran daripada Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) pada pukul 9.42 pagi kerana dipercayai berlakunya kebakaran di tingkat satu bangunan tersebut.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan tiba dua minit kemudian bersama-sama sebuah jentera bomba dengan enam orang anggota tiba di tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa sepuluh minit.

Seorang mangsa didapati cedera dan dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Asap tebal memenuhi tingkat 1 dan podium FPL.

Asap tebal memenuhi tingkat 1 dan podium FPL.

Bagaimanapun senario ini hanyalah sekadar Latihan Keselamatan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan yang diadakan di premis tersebut bagi memberi kesedaran kepada warga FPL dalam menghadapi waktu kecemasan.

Proses pengungsian bangunan berjalan lancar apabila FPL hanya mengambil masa sepuluh minit untuk membawa seramai kira-kira 380 orang pengunjung dan penyewa premis FPL keluar ke kawasan berhimpun dengan selamat.

Keseluruhan operasi tamat dan bangunan disahkan selamat untuk dimasuki semula pada kira-kira jam 10.05 pagi.

Menurut Pengurus Besar FPL Subramaniam Muniandy, latihan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam dan para penyewa mengenai langkah-langkah yang perlu diambil dalam situasi kecemasan seperti kebakaran.

ERT FPL dan anggota bomba sedang mengawal 'kebakaran'.

ERT FPL dan anggota bomba sedang mengawal ‘kebakaran’.

“Latihan ini kita jalankan dua kali setahun dan ini adalah yang pertama untuk tahun ini bagi memberi kesedaran semua pihak mengenai tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.

“Kesedaran yang baik dalam kalangan orang ramai dan penyewa dapat menghindarkan kita dari perkara yang tidak diingini seperti kehilangan nyawa dan harta benda.

“Kita juga ingin menguji kesiapsiagaan SPKA FPL, kecekapan ERT FPL dan meningkatkan koordinasi bersama agensi lain ketika menghadapi situasi kecemasan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Tambahnya seramai 50 kakitangan FPL menjayakan latihan itu sambil dibantu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan dan Jabatan Kesihatan Labuan.

-SH

Tinggalkan komen anda