Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sidang Media Sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor 2019

By 4 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin, Muhd Shariffudin Abd Razak, Muhammad Shah Hood/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Johor, Dr. Dzulkefly Ahmad telah mengadakan sidang media bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor 2019 di Jabatan Penerangan Negeri Johor.

Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor pada tahun ini akan diadakan pada 6 Ogos 2019 (Selasa) bertempat di Laman Rumah Limas Kundang Ulu Tangkak dan akan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

“Pada kali ini, pengisian acara Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia pastinya akan menambah kemeriahan sambutan majlis pelancaran tersebut.”

Dr. Dzulkefly Ahmad berharap seluruh rakyat Negeri Johor dapat bersama-sama menyertai acara-acara yang telah direncanakan bagi semua program-program sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Johor.

Dr. Dzulkefly Ahmad berharap seluruh rakyat Negeri Johor dapat bersama-sama menyertai acara-acara yang telah direncanakan bagi program-program sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Johor.

“Kerajaan Negeri melihat penglibatan Jabatan Penerangan Negeri Johor amat penting bagi membantu untuk mempromosikan dan menjayakan Kempen Jalur Gemilang tahun 2019,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri telah memilih Dataran Bandaraya Johor Bahru sebagai lokasi Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor yang akan berlangsung pada 31 Ogos 2019 dengan tema sambutan ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’ yang menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan Negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

 
“Pengisian acara tahunan ini adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan di samping memberi peluang kepada bangsa Johor menzahirkan semangat patriotik mereka dengan menghadiri dan menyaksikan sendiri Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Johor.”

“Sebagaimana kebiasaannya pada tarikh 31 Ogos setiap tahun, sepuluh daerah dalam negeri Johor akan turut menganjurkan Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah yang akan berlangsung secara serentak dengan sambutan peringkat negeri,” ujarnya.

Sementara itu, antara lokasi Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah adalah di Padang Hoki Batu Pahat, Dataran Segamat, Dataran Tasik Kluang, Dataran Majlis Daerah Pontian, Stadium Mini Mersing, Stadium Mini Kulai, Dataran Ledang Tangkak, Padang Bukit Kerajaan Kota Tinggi, dan Dataran Tanjung Emas Muar.

Kerajaan Negeri Johor telah memutuskan bahawa Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan (EXCO) akan mewakili Menteri Besar Johor bagi merasmikan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah.

“Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan pada sebelah malam  bersekali dengan sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 2019 di daerah Johor Bahru dan secara serentak di semua masjid di negeri Johor,” ujar Dzulkefly lagi.

Dalam menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2019 beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggelorakan semangat kemerdekaan serta menyemarakkan lagi semangat patriotisme.

Beliau juga berharap seluruh rakyat Negeri Johor khususnya dapat bersama-sama menyertai dan memeriahkan program-program yang telah direncanakan sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Johor.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor, Zainudin Ismail.

-NI-

Tinggalkan komen anda