Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Tujuh Lokasi Persinggahan KMJG Di Sekitar Rembau.

By 25 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 155 orang peserta dan 35 kenderaan telah menyemarakkan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) peringkat Daerah Rembau.

Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata dalam ucapannya, program KMJG ini merupakan satu program yamg baik bagi membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi.

“Kita rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan kaum wajib turut sama mengibarkan Jalur Gemilang dan berbanggalah menjadi warga Malaysia yang hidup bersatu padu dalam keadaan yang harmoni serta hormat menghormati anatara satu sama yang lain,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Najib juga menyeru agar seluruh masyarakat menghayati semangat Rukun Negara yang menjadi tonggak perpaduan dan panduan amalan hidup rakyat Malaysia dan juga bersama-sama mempertahankan keamanan dan kemakmuran Negara Malaysia.

WhatsApp Image 2019-08-22 at 21.05.54

Najib menyampaikan sijil KMJG.

Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Rembau, Malini Yunus menjelaskan bahawa sambutan yang diberikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di kesemua tempat persinggahan Konvoi KMJG Daerah Rembau ini berlangsung dengan amat meriah.

“Besar harapan kami agar seluruh masyarakat dapat meningkatkan nilai patriotisme dan menanam semangat cintakan Negara setiap masa, bukan hanya bersempena Bulan Kebangsaan ini sahaja,” tambahnya lagi.

Program KMJG ini merupakan program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang bertujuan untuk menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh tempat sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Sebanyak tujuh persinggahan dilalui oleh peserta konvoi, bermula dari Pejabat Tanah Dan Daerah Rembau, kemudian bersinggah di Pekan Kota dan Pekan Rembau untuk mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai.

Seterusnya konvoi meneruskan perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pedas, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, Sekolah Sains Rembau dan jelajah berakhir di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kundur, Rembau.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Mejar (K) Sabarudin Yeop Hamza, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sahrizal Masrudin dan Penyelaras DUN Chembong Azizan Marzuki.

-AK

Tinggalkan komen anda