Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Anak Pelakon Veteran Syahid

By 4 September 2019Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Anak kepada pelakon veteran terkenal AR Badul meninggal dunia ketika terlibat dalam satu latihan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, merupakan pegawai di pasukan 11 Rejimen Gerakhas Kem Sungai Udang, Melaka meninggal dunia ketika menyertai latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat apabila tembakan senjata api yang dilepaskan tersasar melewati baju kalis peluru yang dipakainya.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga Allahyarhan serta menyifatkan pemergiaannya sebagai satu kehilangan kepada Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Semoga seluruh ahli keluarga reda dan sabar dengan ujian ini dan menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid). Pihak TDM juga telah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.

Allahyarham yang berasal dari Kuala Lumpur itu meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

-SH

Tinggalkan komen anda