Laporan/Foto: Fadli Muhamad (Tumpat)
TUMPAT, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Karnival Koperasi dan ‘Bekwoh’ (Kenduri) Rakyat anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pantai Geting, Tumpat mendapat sambutan lebih dari 15000 pengunjung bermula pukul 9 pagi hinga 12 malam telah dirasmikan oleh Tun Daim Zainuddin selaku mantan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.
“Gerakan koperasi dikenal pasti sebagai platform yang mampu membantu mengurangkan kenaikan kos sara hidup. Justeru itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) perlu memberi fokus ke arah memperkasa pembangunan gerakan koperasi dalam penguasaan rantaian nilai untuk mengekang kos sara hidup yang tinggi melalui penglibatan koperasi dalam industri pemborongan dan peruncitan,” ujar Daim di dalam ucapan perasmiannya.
“Dengan bilangan koperasi yang lebih daripada 14,000 pada masa kini serta kekuatan anggota seramai 6.5 juta orang iaitu hampir 20 peratus populasi negara, gerakan koperasi secara kolektif mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kos sara hidup rakyat dengan berkesan,” tambah Daim lagi
Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nordin Salleh, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.
“Rakyat Kelantan bertuah kerana kerajaan bersetuju menyegerakan lima projek mega utama termasuk pembinaan jambatan Palekbang – Kota Bharu yang akan menyemarakkan pembangunan ekonomi Tumpat,” ujar Tun Daim Zaidudin semasa sesi sidang media.
“Suntikan ekonomi ini akan membolehkan rakyat mengambil bahagian yang lebih cergas khususnya mengaktifkan koperasi,” katanya.
Sementara itu Timbalan Menteri Ekonomi, Dr Radzi Jidin berkata koperasi perlu memainkan peranan untuk mengurangkan jurang antara kaum, wilayah, jurang antara orang kaya dan miskin, juga mengurangkan jurang rantaian pengedaran.
“Kita tidak boleh menafikan jurang di antara kaum di negara ini masih terlalu tinggi. Pegangan Bumiputera dalam perniagaan hanya 5%, manakala dalam industri hanya 1% sahaja.
“Kerajaan berharap pergerakan koperasi menjadi pilihan terbaik untuk mengurangkan jurang berkenaan”, tambah Radzi Jidin lagi.
Reaksi pengunjung yang hadir semasa majlis perasmian menyatakan bahawa penjelasan berkaitan peranan koperasi amat besar untuk membantu meringankan bebanan rakyat.
Seorang pengujung yang ditemui, Emazrin Fauzi, 41, berkata jika ramai rakyat yang menjadi ahli koperasi, barangan yang akan kita beli di kedai koperasi ternyata harga lebih murah berbanding kedai biasa yang menjual barangan keperluan harian.
Manakala Adzriena Hamzah, 37, seorang peserta pertandingan acara Autoshow berkata acara seperti pertandingan mewarna, auto show, dikir barat dengan persembahan oleh artis popular seperti Ezad Exist, Fendi Kenali dan Man Khan berjaya menarik minat masyarakat tempatan untuk hadir memeriahkan program ini.
-NAZ