Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bersuara Demi Keselamatan Pesakit

By 17 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Aishah Omar (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 17 Sep (Malaysiaaktif) –  Keselamatan pesakit merupakan salah satu cabaran kesihatan global yang perlu perhatian serius, dan isu yang melibatkan keselamatan pesakit merupakan penyumbang ke-14 dalam bebanan penyakit global, standing dengan penyakit tuberculosis dan malaria.

Kos yang perlu ditanggung akibat kelemahan dalam aspek keselamatan pesakit adalah jauh lebih tinggi daripada kos yang dibelanjakan untuk tindakan pencegahan. Oleh itu usaha untuk meningkatkan keselamatan pesakit amat mustahak.

Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad, berkata pihak kementerian telah mengambil pelbagai inisiatif dalam mempertingkatkan keselamatan pesakit di negara ini.

“Majlis Keselamatan Pesakit Malaysia (Malaysian Patient Safety Goals) diwujudkan bagi memimpin dan menangani isu-isu utama keselamatan pesakit di negara ini.

“Matlamat Majlis ini antara lain menggariskan prioriti utama dalam keselamatan pesakit dan pada masa yang sama menjadi penanda aras pencapaian keselamatan pesakit di Malaysia,” katanya sempena Pelancaran Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit, di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly semasa merasmikan Pelancaran Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit di Putrajaya pagi tadi.

Dr. Dzulkefly semasa merasmikan Pelancaran Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit di Putrajaya pagi tadi.

Dalam pada itu, KKM turut menganjurkan pelbagai program Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seperti mencuci tangan, penggunaan senarai semak semasa pembedahan, meningkatkan keselamatan ubatan dan pelaporan insiden bagi tujuan penambahbaikkan sistem kesihatan di negara ini.

“Kursus Wajib Bagi Pegawai Perubatan Siswazah Berkenaan Keselamatan Pesakit juga telah mula dilaksanakan sejak 2017 bagi memberi pengetahuan kepada pegawai baharu.

“Penilaian hospital pula dilaksanakan bagi memastikan pematuhan standard kualiti dan keselamatan pesakit melalui proses akreditasi yang dilaksanakan oleh Malaysian Society for Quality in Health (MSQH),” katanya lagi.

Dr. Dzulkefli turut menjelaskan slogan KKM tahun ini dalam menangani atau sekurang-kurangnya mengurangkan kes berkaitan isu keselamatan pesakit.

“Bersuara Untuk Keselamatan Pesakit merupakan slogan tahun ini yang bertujuan menyeru pesakit, anggota kesihatan, pembuat polisi, ahli akademik, pakar penyelidik, badan profesional dan industri kesihatan untuk bersuara sekiranya terdapat isu keselamat pesakit, sama ada melibatkan proses kerja, amalan anggota kesihatan dan persekitaran yang tidak selamat.

Para hadirin dan peserta yang hadir turut berikrar untuk Bersuara Demi Keselamatan Pesakit.

Para hadirin dan peserta yang hadir turut berikrar untuk Bersuara Demi Keselamatan Pesakit.

“Pesakit perlu dididik supaya berani untuk bersuara dan bertanya kepada anggota kesihatan mengenai rawatan yang diberi atau sebarang tindakan yang diambil oleh mereka.

Anggota kesihatan perlu berkomunikasi secara efektif dengan anggota lain serta bersuara bagi memastikan rawatan kesihatan yang lebih selamat supaya dapat mencegah kesilapan manusia dan kesilapan yang tidak dingini,” tambahnya.

Contoh-contoh insiden yang melibatkan keselamatan pesakit adalah kesilapan-kesilapan membabitkan ubatan, proses pemindahan darah, proses pembedahan dan pesakit jatuh ketika menerima rawatan.

Menteri Kesihatan turut mengumumkan Menara Kuala Lumpur akan diterangi warna jingga pada malam ini (17 September) sebagai simbol solidariti global dalam menjadikan keselamatan pesakit satu prioriti.

-SH

Tinggalkan komen anda