Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Memupuk Semangat Perpaduan Dari Usia Kanak-Kanak

By 17 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Nor Sofian Abdul Manan (Segamat)

SEGAMAT, 17 Sept (Malaysiaaktif) – ‘Sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari’ seiiring dengan pepatah melayu ini, pembentukan semangat perpaduan perlu dipupuk semasa zaman kanak-kanak lagi kerana apabila kanak-kanak menyukai negara mereka, mereka akan membesar dengan menghargai warisan, kepelbagaian dan sejarah mereka.

Bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan ini, Parlimen Sekijang turut mengadakan Program Semarak kemerdekaan Peringkat Zon Sekijang yang diwarnai dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di sekitar Parlimen Sekijang bagi menunjukkan kesepaduan rakyat Malaysia.

Sukaneka sempena program Semarak Kemerdekaan yang disertai oleh warga KRT di Zon Sekijang.

Sukaneka sempena program Semarak Kemerdekaan yang disertai oleh warga KRT di Zon Sekijang.

Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail berkata, Malaysia merupakan sebuah Negara yang unik kerana di negara ini terdapat tiga kaum utama yang hidup bersatu padu dan mengamalkan cara hidup yang berbeza namun saling melengkapi antara satu sama lain dan menjalani kehidupan yang bersatu dan harmoni.

“Negara kita tidak seperti negara lain, perpaduan adalah tunjang utama negara, jika tidak dijaga sukar untuk kita maju ke hadapan sebagai sebuah Negara maju dan berdaya saing di peringkat global.

KRT Taman-taman Bukit Siput johan sukaneka sempena program Semarak Kemerdekaan Peringkat Zon Sekijang.

KRT Taman-taman Bukit Siput johan sukaneka sempena program Semarak Kemerdekaan Peringkat Zon Sekijang.

“Kawasan Rukun Tetangga (KRT) merupakan platform terbaik bagi mewujudkan persefahaman antara kaum, perpaduan yang dipupuk di awal usia lagi, sama ada di sekolah, di tadika ataupun didikan dari rumah mampu memberi impak yang besar pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan program Semarak Kemerdekaan Peringkat Zon Sekijang, di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, selain memupuk semangat perpaduan, budaya menjaga kebersihan juga perlu dipupuk sejak kecil lagi agar dapat melahirkan masyarakat yang sayangkan alam sekitar.

Program Semarak Kemerdekaan Peringkat Zon Sekijang merupakan anjuran Jawatankuasa Permuafakatan Rukun Tetangga (JPKRT) Zon Sekijang dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Segamat dan Pejabat Penerangan Daerah Segamat yang diadakan di Pusat Skim Rondaan Sukarela (SRS) Bukit Siput.

Natrah Ismail (kiri) meluangkan masa beramah mesra bersama ketua jabatan, Pegawai Perpaduan Daerah  Mohd Sahir (tengah) dan Pegawai Penerangan Daerah Segamat, Nor Sofian selepas selesainya program Semarak Kemerdekaan di kawasan beliau.

Natrah Ismail (kiri) meluangkan masa beramah mesra bersama Pegawai Perpaduan Daerah Mohd Sahir (tengah) dan Pegawai Penerangan Daerah Segamat, Nor Sofian selepas selesainya program Semarak Kemerdekaan di kawasan beliau.

Sementara itu, Pegawai Perpaduan Daerah Segamat Mohd Sahir Ali Huddin berkata, penganjuran program ini adalah usaha Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dalam memelihara perpaduan serta menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat khususnya warga KRT.

Tambah beliau lagi, program ini juga menyediakan platform bagi pengkongsian maklumat melalui agensi-agensi berkaitan antaranya, Pejabat Kesihatan, Pejabat Penerangan dan KOSPEN (Komuniti Sihat Perkasa Negara).

Program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti 10,000 langkah untuk mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan sukaneka antara warga KRT serta ujian saringan kesihatan oleh KOSPEN Sri Bumbun.

Turut hadir Pegawai Perpaduan Daerah Segamat Mohd Sahir Ali Huddin, Pegawai Penerangan Daerah Segamat Nor Sofian Abdul Manan dan Pengerusi JPKRT Zon Sekijang Keh Cheng Chuan.

-NI-

Tinggalkan komen anda