Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Warna Warni Perpaduan ‘Kita Malaysia’

By 17 September 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Hanizatul Azwa Mat Lazim (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Sempena menyambut Hari Malaysia tahun ini, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Teluk Intan bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar telah menganjurkan Larian Colour Run Sayangi Malaysiaku, di sini semalam.

Program larian yang terbuka kepada orang ramai itu telah disertai lebih 1000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut Penghulu Mukim Durian Sebatang, Norsham Abdul Kadir, program ini telah dijalankan sejak enam tahun lalu di sini.

Nga Kor Ming memeriahkan suasana dengan menyemburkan air berwarna kepada peserta.

Nga Kor Ming memeriahkan suasana dengan menyemburkan air berwarna kepada peserta.

“Larian ini melibatkan laluan dari Stadium Padang Speedy melalui Jalan Dalam Jawa, Jalan Mak Intan, Jalan Bandar, Jalan Woo Saik Hong dan Jalan Ah Chong dengan jarak sejauh enam kilometer.

“Saya berpendapat program seperti ini sangat baik kerana telah berjaya menghimpunkan masyarakat di Teluk Intan yang berbilang kaum,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mengingatkan agar orang ramai bersama-sama memelihara keamanan dan perpaduan antara kaum.

“Program-program seperti inilah yang akan mengeratkan hubungan antara penduduk di Teluk Intan yang aman ini,” katanya sebelum melakukan acara pelepasan sambil diiringi oleh Ketua Polis Daerah Teluk Intan, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhta dan Penolong Pegawai Daerah Hilir Perak Anas Mohd Yusof.

Acara turut diwarnai dengan kemeriahan semburan air berwarna kepada semua peserta oleh Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming.

-SH

Tinggalkan komen anda