Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Guru SKLT Raih Emas Konferensi Pendidikan Abad ke-21

By 22 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) Hasnan Md Saad, mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi Anugerah Utama Pingat Emas dalam Kategori Pembentangan Poster Kajian Tindakan dan Penyelidikan di Konferensi Pendidikan Abad ke-21 Kebangsaan 2019 di Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini.

Hasnan yang membentang tajuk kajian Jangkauan Keberkesanan Kaedah Kod Pantas dalam Memindah Ayat Aktif ke Ayat Pasif dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu UPSR berjaya menewaskan 20 peserta lain dari seluruh negara.

“Saya sendiri tidak menyangka pembentangan poster ini menjadi pilihan juri memandangkan ia merupakan penyertaan pertama walaupun berpengalaman luas dalam pembentangan kertas kajian pendidikan sama ada dalam dan luar negara.

“Ini merupakan hadiah yang paling manis sepanjang saya menceburkan diri dalam kajian penyelidikan pendidikan sejak tahun 2010,” katanya penuh bangga.

Hasnan (tiga dari kiri) menerima hadiah daripada Dr Mistirine.

Hasnan (tiga dari kiri) menerima hadiah daripada Dr Mistirine.

Guru Bahasa Melayu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya Lahad Datu Tieew Sor Wai, pula mendapat pingat perak dengan tajuk kajian pembentangan poster Putaran Ayat.

Manakala kumpulan guru mata pelajaran Sejarah, Saedah Abd Wahid, Jessica Sylvester Lojikim dan Suriati Biru Parang hanya sekadar berpuas hati meraih pingat gangsa.

Konferensi yang bertemakan ‘Cabaran Pendidikan Dalam Era Revolusi Industri 4.0’ menyaksikan sebanyak 30 kertas kajian dibentangkan melibatkan hampir 50 pengkaji dalam kalangan guru, pegawai pendidikan dan pensyarah dari seluruh negara.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, manakala Majlis Penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Dr Mistirine Radin.

-SH

Tinggalkan komen anda