Skip to main content
Berita TempatanLabuan

One Stop Help Center (KAWAN) Strategi Dekati Rakyat

By 23 September 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Program One Stop Help Center (KAWAN) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan merupakan salah satu strategi kerajaan dalam mendekati rakyat pada peringkat akar umbi.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, KAWAN secara tidak langsung dapat menyebarluaskan perkhidmatan jabatan agar masyarakat lebih memahami dan mendapat manfaat daripada pelaksanaan dasar dan program kerajaan yang berteraskan program capaian sebagai satu strategi mendekati rakyat dengan fokus agar memberi impak positif kepada mereka yang memerlukan.

Rozman (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Jabatan Penerangan Labuan yang turut mengadakan edaran bahan penerbitan.

Rozman (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Jabatan Penerangan Labuan yang turut mengadakan edaran bahan penerbitan.

“Kepelbagai program dan usaha berterusan daripada agensi kerajaan adalah platform yang tepat dalam memperkenal serta meuar-uarkan perkhidmatan disediakan mengikut dasar-dasar semasa untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Peredaran masa dan ledakan teknologi digital menuntut perkhidmatan yang disampaikan sentiasa relevan dengan kehendak individu, keluarga dan komuniti.

“Dengan mengoptimumkan sumber sedia ada serta menyahut saranan perbelanjaan berhemah oleh kerajaan, usaha-usaha membantu rakyat dapatlah dijalankan secara usahasama di antara agensi kerajaan dan komuniti selaras dengan konsep “Kebajikan Tanggungjawab Bersama,” katanya semasa merasmikan program itu di Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun, di sini semalam.

Tambah Rozman, keberkesanan pendekatan ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan malah membantu dari segi mengenal pasti golongan sasar yang terlepas pandang oleh lain-lain agensi kerajaan.

“Hal ini memerlukan kerjasama bersama ahli komuniti dan bukan peranan jabatan semata-mata dan saya menyeru supaya gandingan kerjasama antara jabatan, pemimpin masyarakat, sukarelawan serta komuniti digembleng agar golongan terpinggir serta berisiko dapat dibantu daripada terus ketinggalan dalam arus perdana pembangunan,” jelasnya lagi.

Program itu diisi dengan pelbagai pengisian seperti kaunter perkhidmatan agensi kerajaan dan badan korporat serta ceramah inisiatif kerajaan. Antara agensi terlibat Jabatan Penerangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kesihatan dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan Ansharey Matarsad, Pengarah Penerangan Labuan Supian Musa dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan Simsudin Sidek.

-SH

Tinggalkan komen anda