
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Jabatan Penerangan Sarawak
KUCHING, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sedang mempersiapkan Kertas Putih Pertahanan yang bakal menggariskan peranan yang boleh dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat agar pertahanan negara menjadi satu usahasama nasional.
Kertas Putih Pertahanan ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap keutamaan rancangan masa hadapan pertahanan negara dengan mengambil kira trend global terkini agar sejajar dengan realiti semasa serta cabaran yang menanti pada masa hadapan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan keselamatan perairan dan lautan akan dapat memastikan kesejahteraan negara.
“Malaysia yang dikelilingi oleh tiga laluan utama iaitu Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu secara langsung menjadikan kita sebuah negara maritim.
“Malaysia sebagai sebuah negara maritim bukanlah satu konsep yang baharu bagi kita kerana sejarah telah mencatat bagaimana kita menjadi laluan pilihan Timur ke Barat dan Barat ke Timur serta pada masa kini berpotensi menjadi pintu gerbang di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
“Jika kita berupaya memastikan keselamatan di perairan kita maka potensi ekonominya pasti dapat kita ceburi dan nikmati,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, di sini semalam.
-SH