Skip to main content
Berita TempatanKuala Lumpur

Ola Bola Memukau Penduduk PPR Pantai Ria

By 17 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Azuraini Abd Majid/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

 

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Malaysiaaktif) – ‘Wayang Pacak’  begitu sinonim dengan Jabatan Penerangan sekitar era 60an hingga 70an.

 

Filem-filem berunsur perpaduan menjadi keutamaan tayangan sebagai langkah memerangi propaganda anasir-anasir yang ingin menggugat keselamatan negara pada ketika itu. Terkini ‘wayang pacak’ diberi nafas baharu seiring teknologi digital dalam era media sosial menjadi wadah dalam penyampaian maklumat.

 

Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan WPKL melalui Parlimen Lembah Pantai mengembalikan nostalgia ‘wayang pacak’ dengan mengadakan tayangan filem ‘Ola Bola’ malam tadi yang memukau penonton hingga ke akhirnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyeru penduduk PPR Pantai Ria agar sentiasa menghargai dan terus mempertahankan perpaduan serta keharmonian demi kemakmuran bersama ketika berucap merasmikan Program Merdeka@Komuniti semalam

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyeru penduduk PPR Pantai Ria agar sentiasa menghargai dan terus mempertahankan perpaduan serta keharmonian demi kemakmuran bersama ketika berucap merasmikan Program Merdeka@Komuniti semalam.

 

Bertempat di parkir kereta PPR Pantai Ria, hampir 400 orang penduduk berbilang kaum hadir menyaksikan ‘wayang pacak’ sambil beramah mesra dan bertanya khabar.

 

Kehadiran penduduk seawal jam 7.30 malam menambahkan lagi  kehangatan malam ambang Hari Malaysia 2019 sempena program Merdeka@Komuniti bertepatan hasrat dan harapan kerajaan yang menyuburkan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Kehadiran Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut memeriahkan suasana dan beliau menyeru masyarakat setempat untuk terus  menghargai dan mempertahankan perpaduan, keharmonian serta kedaulatan negara ini dengan sepenuh jiwa raga.

Jerebu tidak menghalang penduduk PPR Pantai Ria daripada semua peringkat umur untuk menyaksikan tayangan filem Ola Bola.

Jerebu tidak menghalang penduduk PPR Pantai Ria daripada semua peringkat umur untuk menyaksikan tayangan filem Ola Bola.

 

“Sudah 56 tahun pembentukan Persekutuan Malaysia berlaku dan ia terus menyerlah sebagai sebuah negara yang unik dengan rakyat pelbagai kaum hidup harmoni dan aman di bawah satu bumbung,” ujar beliau lagi.

 

‘Wayang Pacak’ menjadi platform bagi warga kota  untuk mengeratkan silaturahim dalam keseronokan menyaksikan filem ‘Ola Bola’, filem  mengisahkan sejarah perjuangan bola sepak Malaysia  serta menggambarkan kehidupan sebenar rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

-AO

Tinggalkan komen anda