Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Jabatan Penerangan Sarawak
KUCHING, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan dalam kalangan kita bukan hanya tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata tetapi tanggungjawab setiap rakyat di negara ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata semangat perpaduan akan mengalami pasang surutnya bergantung kepada keadaan dan suasana, namun ianya tidak seharusnya merendahkan semangat rakyat.
“Perlu untuk kita berterusan menyemai semangat cintakan perpaduan, dan kerana itulah juga kita memilih tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bagi sambutan Hari Malaysia kali ini.
“Sudah pasti apabila kita menyayangi negara kita, akan kita susuli dengan menyayangi rakyatnya, dan dengan sendirinya perpaduan akan terjalin. Itulah yang menjadi harapan kita,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia, di sini semalam.
Tun Mahathir menjelaskan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat kerana perpaduan akan dapat memacu negara ke arah kestabilan.
“Kestabilan memberi kita ruang untuk mentadbir dan melaksanakan dasar dan program untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Kestabilan ini juga akan meningkatkan aktiviti ekonomi dan ini akan menjana kekayaan yang akan kita kongsi bersama,” katanya lagi.
Dalam pada itu Tun Mahathir turut mengingatkan masyarakat hari ini akan kesedaran tanggungjawab untuk mempertahankan perpaduan dan kepelbagaian supaya mencerminkan kebolehan mencapai kesatuan dalam kepelnagaian meskipun terbahagi kepada ramai bangsa dan suku-kaum.
“Kita kenang dan hargai perjalanan berliku dan sukar yang ditempuhi rakyat terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan buat Persekutuan Tanah Melayu, disusuli pula usaha yang menyatukan di bawah Negara Malaysia.
“Jika kita ingat apa yang mereka lalui, kita tidak akan mengambil ringan perpaduan dan kerjasama di antara rakyat, malahan kita akan bangkit mempertahankannya jika ada anasir yang mahu mengganggu gugat perpaduan tersebut,” katanya lagi di hadapan lebih 7000 warga tempatan dan luar.
-SH