Laporan/Foto: Azuraini Abd Majid/ Parameswary Lekshmanan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Malaysiaaktif) – Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kembali lagi pada tahun ini dengan lapan (8) kategori dipertandingkan.
Pertandingan yang menjadi acara tahunan Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia sejak 2010 ini antara lain untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara di samping meningkatkan kesedaran dan penghayatan kemerdekaan sama ada secara individu ataupun organisasi melalui cetusan kreativiti dalam menyampaikan informasi kenegaraan.
Justeru itu bertempat di Restoran D’Saji, Taman Tasik Titiwangsa Majlis Apresiasi Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2019 berlangsung dengan penuh meriah.
Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Erwin Khairul Ahmad menyatakan, “Fokus utama pertandingan ini untuk melihat kreativiti para peserta dalam menceriakan dan menghias premis-premis dan kediaman mereka dengan cetusan idea yang unik, berinovasi serta menonjolkan daya tarikan kepelbagaian reka bentuk menggunakan bendera. ”
“Rasa patriotik itu bukan hanya sekadar menggantung atau memacak Jalur Gemilang semata-mata tetapi perlu dizahirkan dengan sepenuh hati,” tegas beliau ketika berucap pada majlis tersebut.
Abdul Aziz Syed Salim, menjadi johan bagi kategori individu, manakala bagi kategori bangunan swasta dan kategori bangunan kerajaan dimenangi oleh Yayasan Wilayah Persekutuan dan Tabika KEMAS Seri Sarawak yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 berserta plak dan sijil penyertaan.
“Kemenangan ini bukan sahaja atas kerjasama para guru, pelajar dan ibu bapa namun ia juga melibatkan rakan-rakan strategik dan beberapa jabatan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sama-sama bertungkus lumus menyumbang idea dan menghias kawasan tabika,” ujar guru Tabika KEMAS Seri Sarawak, Nur Azlene Zainal Abidin tentang kemenangan yang diperolehi.
Bagi kategori keceriaan peringkat Sekolah Rendah dan kategori Sekolah Menengah, ia dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Seri Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah, manakala Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS dinobat juara bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Kampung Malaysia Raya pula menjadi juara bagi kategori pintu gerbang tercantik.
Keempat-empat kategori ini menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 berserta plak dan sijil penyertaan.
Bagi kategori Taman Perumahan, Persatuan Penduduk Anyaman Residence merangkul tempat pertama dan memenangi wang tunai RM2,500 berserta plak dan sijil penyertaan.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Prof. Mohamad Mubin Mat Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizal Nizam Zainun dan Pengarah KEMAS Wilayah Persekutuan, Azlan Mohamed.
-AO