Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Politeknik METro Johor Bahru (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 20 Sept (Malaysiaaktif) – Mahasiswa di negara ini perlu sentiasa diberi bimbingan dan pengalaman dalam membina kerjaya sama ada di dalam atau di luar bidang agar mereka dapat menyahut cabaran yang terdapat dalam alam pekerjaan.
Pengarah Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) Azirin Abdul Aziz berkata, buat julung kalinya PMJB menjadi tuan rumah kepada dua buah program utama secara serentak iaitu Karnival JOM PMJB dan Program Alumni Professional Talk: The Best Of Alumni Politeknik.
Beliau berkata, program ini merupakan program kerjasama antara Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan dan melibatkan penyertaan seramai 232 orang pelajar dan 40 orang alumni dari 30 buah politeknik dan kolej komuniti.
“Program ini bertujuan untuk memperkasakan program-program alumni politeknik seluruh Malaysia dalam mengekalkan jalinan perhubungan sepanjang hayat yang konsisten di antara alumni, pelajar dan institusi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival JOM PMJB dan Alumni Professional Talk, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Wan Mohamad Nasir Wan Abdul Rahman.
Dalam pada itu, seramai empat orang alumni dari Politeknik Port Dickson, Kolej Komuniti Jasin, Politeknik METrO Johor Bahru bersama seorang panel industri dari Multi Millionaire Group dijemput ke forum Alumni Professional Talk bagi membincangkan tajuk “Pemilihan Kerjaya dalam Kalangan Mahasiswa: Hubungan antara sikap dan pemikiran.”
Pelajar Diploma Kewangan dan Perbankan Islam, Arifah Syafiqah Abdul Muthalib, 19, berkata program ini memberi pendedahan dan pengetahuan kerjaya yang lebih luas kepada mahasiswa.
“Ia juga adalah langkah persediaan untuk mahasiswa seperti kami agar lebih bersedia untuk menjalani latihan dalam industri dan semasa bekerja nanti,” katanya lagi.
Turut diadakan sesi penyampaian watikah pelantikan Ikon Alumni PMJB dan Jawatankuasa Persatuan Alumni PMJB, pemberian penghargaan kepada alumni Zon Selatan serta penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Program Generasi Merdeka.
-NI-