Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Perkhidmatan Bas Percuma Ringankan Beban Rakyat

By 4 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Noorezrin Mahmod/Ramasamy Amas (Jempol)

JEMPOL, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Dalam usaha untuk meringankan beban rakyat perkhidmatan bas percuma telah diperkenal dan dilancarkan di sini Isnin lalu.

Kemudahan yang disediakan untuk masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau ini memberi khidmat khususnya kepada pengguna yang ingin mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bahau.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru merangkap ahli DUN Bahau Teo Kok Seong, berkata sistem pengangkutan merupakan salah satu isu yang sering dibangkit oleh masyarakaat DUN tersebut kerana ianya kurang memuaskan.

“Dengan bermulanya perkhidmatan bas percuma ini, saya berharap agar ianya dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada masyarakat DUN Bahau terutamanya mereka yang ingin mendapatkan rawatan ke Klinik Kesihatan Bahau,” ujarnya ketika merasmikan majlis tiga dalam satu iaitu Pelancaran Perkhidmatan Bas Percuma, Penyerahan Bangunan Kedai Desa dan Pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Daerah Jempol di perkarangan Kedai Desa Bandar Bahau.

Tambah Kok Seong lagi, Perkhidmatan Bas Percuma akan berada dalam tempoh percubaan sehingga Disember 2019 dan akan dilanjutkan perkhidmatannya sekiranya sambutan menggalakkan.

“Kita juga akan meluaskan perkhidmatan ke kawasan DUN lain sekiranya ia memberikan kebaikan kepada masyarakat setempat, buat masa sekarang perkhidmatan ini ditawarkan untuk masyarakat DUN Bahau dan Serting sahaja kerana bersempadan” katanya lagi.

Sementara itu, Perkhidmatan Bas Percuma beroperasi pada hari bekerja sahaja iaitu Isnin hingga Jumaat bermula dari pukul 8 pagi sehingga 5.30 petang dengan kekerapan sebanyak empat kali sehari.

Laluan bas pula akan bermula dari Stesen Bas Bahau melalui jalan utama sehingga ke Batu Kikir. Bas ini juga akan menghantar penumpang terus ke pintu pagar Klinik Kesihatan Bahau, yang mana sebelum ini penumpang perlu berjalan kaki kira-kira 100 meter dari simpang jalan menuju ke klinik tersebut.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jempol Mas Midyawan Yahya dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol Raja Norazli Raja Nordin.

-AK

Tinggalkan komen anda