Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Dianggarkan sekurang-kurangnya 1 dalam 32 orang wanita berisiko diserang kanser payudara dalam hayat mereka. Hasil Diagnosis mendapati hampir separuh dari wanita yang mengidap penyakit ini berusia kurang dari 50 tahun.
Pegawai Kesihatan Daerah Rembau Dr. Asmah Johari, menjelaskan kanser payudara merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada tindakan sel yang bermula dari bahagian payudara dan ianya akan berkembang serta seterusnya menyerang organ serta tisu-tisu yang berhampiran.
“Dengan kesedaran yang tinggi akan kanser payudara serta kanser yang lain seperti mulut dan usus, Pejabat Kesihatan Daerah Rembau telah menganjurkan Program Kenali Kanser Anda ini.
“Para wanita harus mengetahui bagaimana untuk memeriksa payudara dan mengenalpasti tanda-tanda awal kanser melalui tiga langkah yang mudah iaitu memeriksa, mengenalpasti jika terdapat perubahan dan respon untuk rawatan dengan segera,” ujarnya ketika ditemui di Dewan Agora Rembau, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, salah seorang pengunjung, Zaleha Ahmad, berkata program yang dianjurkan ini merupakan satu platform yang baik bagi memberi kesedaran kepada masyarakat akan penyakit kanser.
“Pemeriksaan payudara yang disediakan di program ini amat baik bagi kaum wanita yang mana kebanyakan daripada kurang sedar akan masalah berkenaan kerana tidak mengetahui kaedah yang betul untuk memeriksa payudara,” katanya ketika ditemui.
-AK