Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Pulau Pinang Negeri Pertama Mempunyai 2 Datuk Bandar

By 18 September 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ariza Mohamed Zaki (Seberang Prai Utara)

KEPALA BATAS,18 Sep (Malaysiaaktif) – Bersempena dengan tarikh Hari Malaysia pada 16 September lepas, Daerah Seberang Perai telah mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila secara rasminya telah dinaik taraf kepada status bandar raya yang dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai(MBSP). Dalam pada masa yang sama, negeri Pulau Pinang juga turut mencatatkan sejarah apabila mempunyai 2 Datuk Bandaraya.

Majlis pengisytiharan ini telah diadakan di Dewan Millineum, Kepala Batas dengan diumumkan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang, Tun Hj Abdul Rahman Abbas sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan lain-lain lagi yang melibatkan kepentingan negeri.

Di antara tetamu yang hadir

Di antara tetamu yang hadir

Turut bersama dalam majlis pengisytiharan adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang terlebih dahulu menyerahkan surat cara pengisytiharan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada TYT Tun untuk dibacakan sebelum diserahkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang untuk melantik Datuk Bandaraya Seberang Perai.

Datuk Rozali Mohamud telah dipilih sebagai Datuk Bandaraya Seberang Perai yang pertama. “Saya mengucapkan ribuan terima kasih serta tahniah kepada penduduk di Seberang Perai kerana bekerjasama untuk memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh kerajaan,”ujar beliau ketika ditemui bersama-sama dengan wartawan yang membuat liputan. Beliau juga mengumumkan akan membuat beberapa inisiatif untuk penduduk Seberang Perai sempena kejayaan ini.

Untuk mendapatkan klasifikasi sebuah bandar raya, pihak perbandaran perlulah memenuhi prasyarat tertentu seperti mempunyai 500,000 penduduk, pendapatan tahunan melebihi RM100 juta dan mempunyai kemudahan seperti kawasan perindustrian, institusi pendidikan, institusi kewangan, kemudahan awam yang mampan serta mampu menarik pelabur ke negeri Pulau Pinang.

-II-

Tinggalkan komen anda