Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Rambo Juara Berkokok Bulan Kebangsaan

By 11 September 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Normah Sapa’in (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Kata pepatah ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.’ Ungkapan yang sering didengar bagi menggambarkan untung nasib seseorang.

Begitulah dengan nasib ‘Rambo’ seekor ayam hutan yang telah memberi tuah kepada pemiliknya setelah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Ayam Hutan Merdeka di Program Merdeka@Komuniti Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan Sering (SMK Sering), Kota Bharu 2019 baharu ini.

Muhd Alif Aiman Isa, 15, memenangi tempat pertama dengan mengalahkan 15 peserta lain dalam pertandingan tersebut.

“Pertandingan Ayam Hutan Merdeka ini julung kali diselitkan dalam acara Sambutan Bulan Kebangsaan SMK Sering memandangkan aktiviti tersebut menjadi ‘trending’ dan minat masyarakat setempat di Kampung Sering ketika ini, ” ujar Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Sering, Abd Halim Awang Mat.

“Pertandingan ini dinilai dari segi jumlah kokokan dalam masa 20 minit yang ditetapkan. Ayam yang berkokok paling banyak dalam masa yang ditentukan dinobatkan sebagai juara,” ulas Abd Halim selaku panel penilai pertandingan itu juga.

Rambo dinobatkan sebagai juara bersama pemiliknya Muhd Alif Aiman Isa

Rambo dinobatkan sebagai juara bersama pemiliknya Muhd Alif Aiman Isa

“Spesis ayam hutan boleh dikenali melalui beberapa ciri fizikalnya iaitu bertelinga putih, balung mencacak ke atas seperti disikat, berkaki hitam dan bulu berwarna-warni. Tidak ada ayam hutan yang berwarna putih,” tambahnya lagi.

“Program sebegini wajar diadakan bagi memupuk kecintaan kepada negara dan sayang kepada Jalur Gemilang serta menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda,” ucap Pegawai Penerangan Daerah Kota Bharu, Azmee Mohamed Noor ketika merasmikan program.

“Matlamat utama penganjuran aktiviti Sambutan Bulan Kebangsaan adalah bagi menyemai dan memupuk rasa cinta negara dalam kalangan pelajar di samping melahirkan penghayatan dan penghormatan terhadap pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam usaha memerdekakan bumi tercinta dan memelihara keamanan negara agar kekal sampai bila-bila,” tambah Azmee lagi.

Bagi Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Norizan Idris,50, berkata program ini begitu menarik, berilmu serta bermanfaat dengan adanya slot Bicara Tokoh, dan beliau tertarik dengan penyampaian serta ketokohan penceramah jemputan yang mengupas tentang sejarah tanah air dan pejuang negara. Beliau berharap pelajar dapat menghayati betapa susah payah pejuang terdahulu dalam usaha memerdekakan tanah air.

Pertandingan hiasan motosikal dan perarakan merdeka oleh para pelajar

Pertandingan hiasan motosikal dan perarakan merdeka oleh para pelajar

“Program ini begitu menarik dengan adanya pelbagai pengisian dan pertandingan merdeka bagi memupuk minat pelajar bersama-sama terlibat memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan di samping menanam pengetahuan sejarah tanah air dalam usaha mencapai kemerdekaan Negara,” ujarnya lagi.

Selain daripada Pertandingan Ayam Hutan Merdeka, pelbagai pengisian acara diadakan seperti Pertandingan Melukis Poster Merdeka, Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik, Pertandingan Hiasan Kelas Merdeka, Bilik Khas Merdeka, Bicara Tokoh, Senamrobik Merdeka, Pertandingan Hiasan Basikal dan Motosikal Merdeka.

-NAZ

Tinggalkan komen anda