Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Futsal Merdeka Perkukuh Hubungan

By 11 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Rusmiza Anuar (Dungun)
DUNGUN, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Sukan merupakan landasan dalam memupuk perpaduan dan menyatupadukan rakyat. Pendekatan ini telah dimanfaatkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Dungun dengan menganjurkan Program Merdeka @Komuniti AMBS Futsal Merdeka.

Program yang diadakan di gelanggang Futsal Bandar Al-Muktafi Billah Shah ini mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran pimpinan masyarakat serta komuniti AMBS. Sebanyak 25 pasukan futsal yang terdiri daripada pasukan sekitar Bandar AMBS dan Bukit Besi telah berentap bagi memenangi tempat pertama yang menawarkan wang tunai berserta medal.

Program kerjasama bersama Komuniti Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun ini telah dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Rusmiza Anuar. Penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil komuniti sebagai manifestasi patriotisme kepada negara turut diadakan selepas pertandingan berlangsung.

Bagi pemimpin masyarakat setempat, Mohd Razali Dahuri, 59, beliau meluahkan rasa kagum dengan semangat yang telah ditunjukkan oleh semua peserta yang bertanding dan berharap Jabatan Penerangan terus menyebar luaskan usaha seumpama ini dalam menyemai rasa sayang kepada negara kepada masyarakat.

Mohd Razali Dahuri, 59 merupakan antara pemimpin masyarakat AMBS yang turut hadir memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding

Mohd Razali Dahuri, 59 merupakan antara pemimpin masyarakat AMBS yang turut hadir memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding

“Sukan dan riadah merupakan pendekatan yang terbaik dalam merapatkan hubungan masyarakat di bawah satu bumbung tanpa mengira umur dan pegangan politik. Sebagai contoh, penglibatan satu pasukan yang terdiri daripada peserta bawah 12 tahun dalam menyertai kejohanan ini.”

Pasukan futsal bawah 12 tahun mencuri perhatian apabila menjadi satu-satunya pasukan yang turut bertanding

Pasukan futsal bawah 12 tahun mencuri perhatian apabila menjadi satu-satunya pasukan yang turut bertanding

“Sebenarnya, semangat kerjasama dan muhibah yang ditonjolkan oleh para peserta lebih penting berbanding keputusan perlawanan. Usaha Pejabat Penerangan Dungun menyantuni masyarakat tanpa mengira usia dalam memasarkan dasar-dasar kerajaan memerintah dan menyemai mesej perpaduan negara harus diteruskan sampai bila-bila,” katanya lagi.

Dendang FC telah menjuarai pertandingan tersebut membawa pulang wang tunai RM300 beserta medal. Manakala naib johan dimenangi oleh Comel FC dan tempat ketiga disandang oleh Pasir Raja FC. Sebanyak 20 hadiah cabutan bertuah berupa hamper dan basikal turut disediakan oleh penganjur.

-II-

Tinggalkan komen anda