Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 21 Okt (Malaysiaatif) – Pengasas Yayasan Pesona Datuk Aznil Nawawi, berharap para pelajar boleh menjadikan setiap kebolehan atau cita-cita yang mereka ada untuk menjadi seorang yang luar biasa.
“Kita jangan jadi yang biasa-biasa, anak-anak perlu berhenti berfikir untuk melakukan sesuatu yang diminati dan mengejar cita-cita dengan cara yang biasa.
“Kita ingin melihat anak-anak ini bukan setakat cemerlang dalam akademik malah cemerlang dari segi jati diri, penampilan dan juga kemahiran komunikasi,”katanya semasa ditemui pada Program Speaking Nation 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai baru-baru ini.
Tambahnya, para pelajar di Labuan perlu berhenti berfikir mereka ketinggalan berbanding pelajar-pelajar di negeri lain.
“Para pelajar Labuan juga hebat dan saya mahu mereka menjadi lebih hebat dan menjadi besar pada mata dunia.
“Saya juga menyarankan agar anak-anak ini belajar untuk tidak takut mengangkat tangan untuk menonjolkan diri, jangan takut salah dan hadapi apa sahaja yang terjadi selepas itu,” katanya lagi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia Nooren Zeeana Azis, berkata program ini bertujuan menyuntik semangat pelajar dan mengaplikasikan lima standard asas Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) iaitu komunikasi, kolaboratif, kreativiti, kritis dan nilai etika.
“Kelima-lima standard asas itu digarap dalam bentuk tugasan untuk mereka persembahkan dengan cara yang luar biasa.
“Diharap kita dapat mengumpulkan peserta terbaik di setiap negeri untuk kita bawa mereka ke peringkat kebangsaan nanti,”jelasnya.
Program Speaking Nation 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan disertai lebih kurang 900 pelajar SMK Pantai dan 150 orang pelajar dari semua sekolah menengah di Labuan.
-SH