
Laporan/foto: Robin Junang
KUCHING, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Peranan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai agen penyampai dan penyebar maklumat di peringkat akar umbi masih penting dan relevan.
Demikian kata Datuk Haji Almain Haji Ajirul, Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik KKMM di dalam ucapan semasa merasmikan Taklimat Khas berkaitan Belanjawan 2020 dan Isu Semasa di Auditorium P Ramlee, RTM Kuching.
“Peranan JaPen sebagai agen penyebar dan penyampai maklumat masih penting dan amat relevan sekalipun wujudnya media sosial sebagai agen alternatif penyebar maklumat masa kini”, ujar beliau lagi.
Lebih kurang 240 orang hadir terdiri daripada pegawai dan anggota di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta beberapa agensi di bawah kerajan persekutuan dan negeri.

Muhammad Reezal Ahmad, Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Strategi Badan Berkanun, Kementerian Kewangan Malaysia menyampaikan taklimat berkenaan dengan Belanjawan 2020
Sesi taklimat pertama adalah berkenaan dengan Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Muhammad Reezal Ahmad, Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Strategi Badan Berkanun, Kementerian Kewangan Malaysia.
Manakala taklimat Isu Khas adalah berkenaan dengan Pengurusan Bencana disampaikan oleh Sapian Mamat, Penolong Pengarah Kanan Operasi (Bahagian Koordinasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri.
Empat subtopik topik utama di dalam Belanjawan 2020 disentuh oleh Muhammad Reezal Ahmad berkenaan dengan Prestasi Ekonomi 2019 dan Prospek 2020, Kedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 & 2020, Teras dan Fokus Belanjawan 2020 dan Langkah Belanjawan 2020.
Beliau turut menyentuh bahawa Belanjawan 2020 adalah pertumbuhan berasaskan negara keusahawanan seperti menarik pelaburan digital dan agenda digital, menjana peluang pekerjaan dan pendapatan, pembangunan luar bandar, perlindungan sosial, pembangunan bumiputera, wanita OKU dan lain-lain di samping mengurangkan jurang dan kesaksamaan peluang.
Ia bertujuan untuk memacu pertumbuhan dan keberhasilan saksama bagi mencapai kemakmuran bersama sejajar dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Di dalam sesi taklimat Pengurusan Bencana, Sapian Mamat menyentuh beberapa perkara yang berkaitan dengan pengurusan bencana, operasi, ‘smart team’, penglibatan agensi-agensi berkaitan khususnya JaPen sebagai agensi seranta dalam penyampaian dan pengumpulan maklumat serta perhubungan dengan media.
Beliau turut menyentuh Arahan MKN No. 20 tentang peranan beberapa agensi dan mekanisme pengurusan bencana termasuk Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana.
Di dalam jawatankuasa tersebut dibahagikan kepada dua iaitu Sekretariat Jawatankuasa dan Komander Operasi Bencana manakala kumpulan dibahagikan kepada dua iaitu Agensi Penyelamat dan Agensi Bantuan, Pemulihan dan Badan-Badan Berkanun.
Peranan JaPen sebagai agensi yang mahir dan berpengetahuan dalam mengurus maklumat serta media amat penting kerana maklumat harus sampai kepada pemegang taruh dan rakyat dengan cepat dan tepat.
Dua sesi taklimat tersebut amat penting dan bermanfaat sekali kerana dapat digunakan oleh petugas-petugas lapangan bagi tujuan penyebaran dan penyampaian maklumat di peringkat akar umbi.
Turut hadir di dalam program tersebut ialah Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon Abang Haji Hashim, Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak, Zainal Abidin Asri Abdul Wahid, Dr Dusit Jaul, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri KKMM dan Pengurus Pos Berhad Sarawah, Bong Tung Hui