Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

“Jom Mengai Lam Bendang” Imbau Nostalgia

By 14 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rasidi Che Sa/Najib Abd Ghani (Sik)

SIK, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 245 orang peserta terdiri daripada segenap lapisan usia telah menyertai Pertandingan “Jom Mengai Lam Bendang” (Mari Memancing di Dalam Bendang) anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Sik.

Pertandingan yang julung kalinya diadakan ini adalah bertujuan mengeratkan hubungan sesama komuniti setempat di samping mengimbau kembali memori serta kenangan silam terutamanya bagi generasi terdahulu.

Penyelaras Parlimen Sik Azli Cik Uda, berkata program ini merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan dalam kalangan kaki pancing dan masyarakat kampung.

“Bagi generasi terdahulu aktiviti santai ini pastinya akan mengimbau kembali kenangan pada waktu petang kerana dahulu tidak ada gajet seperti mana sekarang, jadi aktiviti seperti inilah yang menjadi pilihan kanak-kanak bagi mengisi masa lapang pada waktu petang khususnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemelong, di sini baru-baru ini.

Peserta memakai pakaian zaman dahulu mengimbau kenangan lalu.

Peserta memakai pakaian zaman dahulu mengimbau kenangan lalu.

Ujar Azli lagi, disebabkan penyertaan yang diterima adalah di luar jangkaan, berkemungkinan pertandingan ini akan dijadikan acara tahunan.

“Mungkin tahun hadapan hadiah pun akan ditingkatkan bagi menarik lebih ramai peminat aktiviti memancing ini,” katanya lagi.

Sementara itu, urusetia program Muhammad Najib Abdul Ghani, berkata selain tampil dengan kaedah tradisional, para peserta juga hanya dibenarkan menggunakan joran yang diperbuat daripada batang bertam.

“Ini kerana tidak semua peserta biasa menggunakan batang bertam sebagai joran. Ada sesetengah anak muda, tidak mahir menggunakan joran tradisional ini.

“Para peserta juga dikehendaki berpakaian tradisional bagi memenuhi kehendak penganjur di samping bagi merebut kategori Pakaian Tradisional Terbaik,” jelasnya lagi.

Turut hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Pulau Pinang Faiz Fazdil merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang turut melepaskan 3000 benih anak ikan puyu ke dalam tali air bagi memastikan ekosistem ikan di kawasan tersebut terpelihara.

-SH

Tinggalkan komen anda