Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Menteri Besar Ziarah Mangsa Banjir

By 26 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah (Jelebu)

JELEBU, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun melawat mangsa banjir di Kampung Seri Juntai dan Kampung Jerang.

Menurut Aminuddin, punca utama banjir akan dikaji dan tindakan akan diambil untuk mengelak masalah ini tidak berulang pada masa hadapan.

“Banjir berlaku ekoran hujan lebat dan keadaan kuala di Sungai Teriang, Pahang turut menjadi salah satu punca berlakunya banjir di kawasan Kampung Telekong Poum, Kampung Chennah, Kampung Juntai, Kampung Simpang Durian dan Kampung Jerang.

“Tindakan dan langkah pencegahan akan diambil berdasarkan laporan dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya ketika bertemu dengan mangsa banjir di Kampung Seri Juntai, di sini hari ini.

Aminuddin beramah-mesra bersama-sama mangsa banjir di PPS Kampung Jerang.

Aminuddin beramah-mesra bersama-sama mangsa banjir di PPS Kampung Jerang.

Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang memberi bantuan segera dalam menyelamat dan menempatkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ini.

Menurut Pengerusi MPKK Kampung Seri Juntai Daud Badur, Kampung Seri Juntai merupakan salah sebuah kampung yang mengalami banjir setiap tahun tetapi tidak seteruk seperti tahun ini.

“Seramai 31 orang mangsa banjir dari 12 keluarga ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Seri Juntai dan kebanyakan penduduk di sini merupakan pengusaha dan pekebun kecil,” katanya.

Dalam pada itu, pengerusi MPKK Kampung Jerang Shahruddin Dollah, memaklumkan orang kampung bersama pihak pengurusan MPKK mula bergerak seawal pukul 3.00 pagi pada hari kejadian iaitu 24 Oktober untuk menempatkan mangsa banjir di Masjid Kampung Jerang sebelum memindahkan mereka ke Balairaya Kampung Jerang pada keesokkan harinya.

“Sembilan keluarga yang melibatkan 34 orang telah berjaya dipindahkan ke PPS dan ada juga mangsa banjir yang menumpang di rumah saudara-mara dan kawan-kawan sementara air banjir surut,” jelasnya kepada pemberita.

Turut hadir isteri Menteri Besar Wan Hasni Wan Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Bakri Sawir dan Penyelas Dewan Undangan Negeri Pertang Osman Dusa.

-SH

Tinggalkan komen anda